Commercial Break

Monday, April 30, 2012

Day 34 (25 November 2011, Part 2) - Kanak-kanak di Mekah

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

Surah Al Mulk Ayat 15




Hari-hari yang berlalu pergi menandakan semakin berkurangan jemaah haji di Masjidil Haram daripada pelbagai ceruk rantau di muka bumi ini yang telah mulai beransur-ansur pulang ke negara masing-masing. Maka selepas itu, visa umrah akan mulai di buka untuk jemaah tempatan (Saudi Arabia) sahaja sehingga Februari 2012. Selepas Februari 2012, barulah secara beransur-ansur jemaah negara-negara lain akan di benarkan memasuki tanah suci semula.

Pada masa sekarang pun, di Masjidil Haram telah mulai di penuhi oleh penduduk tempatan. Mereka datang menunaikan umrah dan mungkin hanya akan singgah 2, 3 hari sahaja. Jikalau dahulu, suasana dan bunyi-bunyian di Masjidil Haram semasa solat di kuasai oleh suara-suara batuk yang bersahutan selain dari suara utama Iman Masjidil Haram, tetapi kini suara-suara itu di ganti pula oleh suara kanak-kanak yang menangis!

Kanak-kanak tempatan yang berkulit cerah, bermata besar dan berambut perang sangat comel, menggamit kita untuk mencuit pipi mereka malah memanggil-manggil hati untuk mencium mereka. Sangat comel dan mereka mengingatkan saya kepada anak-anak di rumah!

Sayu mengenangkan anak-anak sendiri di rumah nun jauh di Malaysia apabila melihat kanak-kanak Arab ini. Setelah sekian lama 'lupa' pada mereka suasana baru ini mengingatkan saya kepada permata hati sendiri.




Dua beradik yang memakai ihram, turut sama berumrah bersama ibu dan ayah mereka.


Friday, April 27, 2012

Day 34 (25 November 2011, Part 1)-Umrah di malam hari

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah Al Imran Ayat 29


Jemaah yang berpusu-pusu pulang ke hotel masa waktu puncak. Pada ketika ini, ia tidaklah seramai ini.



Hari Jumaat,penghulu segala hari. Keistimewaan hari Jumaat di sini, selain daripada hidangan makan tengah hari nasi beriyani yang terkenal dan di gemari oleh jemaah haji Malaysia yang datang melalui muassasah, ia juga merupakan hari 'rehat' saya. Saya tidak turut serta solat Jumaat di Masjidil Haram untuk memberi peluang kepada jemaah lelaki supaya dapat menunaikan solat Jumaat dengan lebih selesa dan mengelakkan bersesak-sesak dengan mereka.

Malam semalam selepas Isya' rancangan kami untuk melakukan umrah menjadi dan kali ini kami melakukannya dengan cara yang berlainan. Ia adalah pertama kali kami pergi ke Tanaim pada waktu malam dan terus melaksanakan umrah sejurus balik dari Tanaim pada waktu itu juga. Selalunya kami pergi berMiqat di Tanaim pada awal pagi (sekitar pukul 2 – 3 pagi).

Menyusuri jalan-jalan ke Tanaim di malam hari dan melihat pemandangan malam ke Tanaim, adalah melihat tanah halal di sebelah Mekah dari perskpektif yang berbeza. Kebiasaannya kami akan pergi pada pukul 2 atau 3 pagi, jadi tanah halal sangat sunyi. Sangat sepi. Semua sudah lena di ulit mimpi. Semua kedai masih di tutup. Malam ini itu tidak berlaku, terutama ianya adalah hari cuti a.k.a hari minggu bagi penduduk tempatan.

Malam ini, lampu-lampu bergemerlapan dan kedai-kedai masih di buka dan penduduk tempatan masih berlegaran di jalanan. Masih ada yang berurusan. Dan dapat melihat siapakah penduduk tempatan di sini yang sebenar-benarnya. Bentuk muka dan wajah mereka. Warna kulit dan tubuh badan mereka.

Akhirnya kami tiba di masjid Tanaim. Beberapa keluarga sedang duduk bersantai dan taman permainan kanak-kanak di penuhi dengan kanak-kanak yang sedang bermain. Berbeza dengan kita di Malaysia yang akan ke taman di sebelah pagi atau petang, mereka di sini pastinya suka ke taman pada waktu malam kerana mengelakkan matahari yang terik pada siang hari.

Kami bersolat sunat ihram di Tanaim, bermiqat umrah dan dengan menggunakan van yang sama, kembali semula ke Tanah Haram. Alhamdulillah tambang kami ke Tanaim hari ini di belanja oleh Abg Shahrul yang baik hati.

Mengerjakan umrah di malam hari pada pukul 1 pagi rasa berbeza buat kami. Sebelum ini pukul 1 pagi kami sudah lena di ulit mimpi dan cuma akan bangkit pada pukul 2.00 pagi. Suasana bertawaf di malam begini sangat tenang pastinya, dan tidak sesesak selalu. Dari pemerhatian, tawaf pada malam ini tidak di monopoli oleh mereka yang gagah. Mereka pastinya sedang lena di ulit mimpi. Untuk bertawaf dan menyelesaikan umrah dengan mudah pastinya malan hari adalah pilihan terbaik.

Tetapi umrah di malam hari 'mengusik' tenaga kami. Mengganggu rutin kami. Akibatnya kami asyik menguap di Masjidil Haram keesokkan harinya!

Selepas mengerjakan umrah, kami berjalan pulang semula ke hotel untuk berehat dan tidur. Baru pukul 1 pagi, tetapi kami membuat keputusan untuk bersahur terus. Dengan keputusan itu kami singgah di kedai kebab untuk bersahur. Alhamdulillah tokey kedai pula belanja sahur kami pada hari itu.

Puasa hari ini tenang juga seperti semalam. Sangat rasa 'istimewa' berpuasa di Mekah. Untuk pertama kali kami berbuka puasa di Masjidil Haram, di sebalik pintu Babus Syameia selepas azan Maghrib. Berbuka roti dan kurma dan air zam zam. Semalam kami berbuka di luar kawasan masjid. Pastinya berbuka yang sebenar adalah menikmati juadah enak muassasah di hotel!

Selepas berbuka ala kadar sekadar mengalas perut, kami menyambut solat jemaah Maghrib dan seterusnya Isya'.



Sejurus selepas solat Isya, handphone kesayangan berbunyi. Terima sms daripada suami, ringkas ayat-ayat yang tertera "Yang, lewat sikit makan, ke Hijir Ismail"

Wahh kebiasaannya selepas Solat Isya' adalah waktu yang amat kritikal kesibukannya di Hijir Ismail, mereka yang solat berdekatan Hijir Ismail, pastinya akan berlari menyerbu menuju Hijir Ismail sebaik tak sampai sesaat Imam memberi salam yang kedua. Ya itu betul dan sangat kelakar kedengarannya pada saya. Mereka yang solat berdekatan 'hot area' di sekitar Kaabah kebanyakkannya sebaik tak sampai sesaat Imam habis memberi salam kedua, akan terus pecut menyerbu berebut ke lokasi-lokasi tersebut. Jadi menurut jangkaan saya ketika itu, pastinya suami saya solat berdekatan Hijir Ismail semasa solat Isya' tersebut dan membuatkan beliau membuat keputusan untuk ke Hijri Ismail.


Tadi semasa berbuka kebetulannya kami bercerita mengenai Hijir Ismail , tentang mereka yang dapat sembahyang dengan tenang di sana.



Jika suami pecut ke Hijir Ismail, sebaik sahaja menerima sms suami, saya pula tindakan refleks tak hengat segera mengangkat kain dan pecut lari ke atas tingkat 1, menggunakan tangga berdekatan Babus Syamea dan Babul Nadwa kerana Hijir Ismail setentang dengan tangga tersebut. Boleh lihat dengan jelas Hijri Ismail dari tingkat atas.

 



Tiba di atas, mata peka saya segera 'scanning' satu-satu kelibat yang bersesakan di Hijir Ismail. Haa mata segera menangkap itu dia kelibat suami saya yang sedang solat di Hijir Ismail. Saya tersenyum. Pastinya sangat sesak tapi Alhamdulillah ada rezeki tiada siapa mampu menghalangnya.
Pasti ianya pengalaman dan perasaan yang sangat menarik kerana saya dapat melihat suami yang bersesakan antara mereka yang lain dengan jelas dari atas.
Ya, amalan solat di Hijir Ismail memanggil-manggil walau sesak dan mencabar mana sekali pun keadaan pada masa tersebut.

Friday, April 20, 2012

Day 33 (24 November 2011)- Pahala 1000 kali ganda berpuasa di tanah suci

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Surah Al-Araf Ayat 180




Pagi ini, secara zahirnya sama sahaja seperti hari-hari sebelumnya. Buka mata, dan bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi kesihatan dan kekuatan. Seterusnya segera bersiap sedia untuk ke Masjidil Haram pada pukul 2.30 pagi, tiada banyak perbezaan dengan pagi-pagi yang lain.
Tetapi sebenarnya tidak sama pagi ini dengan pagi-pagi yang lain di sini. Pagi ini agak istimewa. Hari ini saya akan berpuasa untuk pertama kalinya di bumi Haram! Sebelum ini semasa di sini, saya tidak terlintas pun untuk berpuasa, kerana kehidupan kami yang agak aktif di sini agak merisaukan saya, ragu-ragu akan tenaga yang ada tidak cukup untuk menampung kudrat melaksanakan aktiviti yang akan dijayakan. Namun begitu, saya ingatkan diri sendiri berulangkali bahawa doa orang berpuasa itu dimakbulkan oleh Allah. Hari ini saya bangun dengan azam dan doa yang saya mesti habiskan puasa dengan jayanya..
Semasa berjumpa suami di luar pintu bilik untuk ke Masjidil Haram, tiba-tiba dia menyatakan hasratnya untuk turut sama berpuasa. Semalam apabila di tanya dia hanya mendiamkan diri. Alhamdulillah sekali lagi kami akan bersama-sama dalam perjuangan kami di sini.

Kami bersahur dengan kurma dan air zam zam selepas tawaf sunat. Tawaf hari ini adalah sesak seperti biasa berbanding tawaf yang sangat tenang semalam. Orang sangat ramai hari ini, dan tolak menolak berlaku dengan kerap. Kami dapat berdoa di Maqam Ibrahim tetapi tidak selama semalam. Selepas tawaf kami dapat masuk ke dalam Hijir Ismail tetapi tolakannya MasyaAllah! Walaupun di kepung oleh suami untuk melindungi saya tetap terasa tolakan-tolakan yang maha hebat. Kebetulan di pintu masuk Hijir Ismail itu, tolak menolak yang berlaku ialah oleh mereka yang berbadan besar dan tegap. Terasa tersepit. Pada masa itu hanya bertawakal dan berserah kepada Allah. Uhh..memang terasa seperti berperang.

Seterusnya kami bersahur sejurus sebelum Azan pertama solat Subuh. Azan pertama? Subuh yang mempunyai dua azan? Pasti ramai yang tertanya-tanya.



Ya, sangat uniknya di Masjidil Haram ini sahaja, azan di laungkan dua kali sejurus Subuh. Kali pertama adalah lebih kurang satu jam sebelum masuk waktu Subuh. Mungkin tujuannya untuk jemaah menyiapkan diri sebelum waktu sebenar Subuh masuk? Saya kurang pasti. Jadi sekiranya mendengar azan pertama ini, jangan tersilap sangka bahawa Subuh sudah masuk. Tunggu dahulu. Jangan Solat Sunat sebelum Subuh dahulu. Azan yang kedua, adalah azan sebenar untuk menandakan masuknya waktu Subuh. Ha..masa ini barulah boleh sembahyang solat sunat sebelum Subuh.


Puasa di sini adalah satu pengalaman yang amat unik. Satu hari berlalu, kami rasa tenang, tidak terasa lansung dahaga atau lapar. Begitu juga dengan suami cuma tekaknya yang perit kerana batuk, kerana jika tidak berpuasa boleh minum air untuk menghilangkan keperitan di tekak. Selain dari itu, puasa yang sangan mengesankan, malah sangat bersyukur kerana amalan berpuasa di lipatgandakan dengan pahala amal ibadat yang lain.


Teringat mereka yang gemar pergi ke Mekah dan menunaikan umrah di kala bulan puasa selama sebulan. Sebelum ini saya berasa hairan mengapa mereka sanggup meninggalkan suasana dan keenakan menikmati juadah enak di Malaysia tatkala berbuka puasa tetapi sanggup menghabiskan masa dan menyambut Ramadhan selama sebulan di Mekah. Saat ini saya mengerti, kerana saya pun seakan terdetik untuk menyambut Ramadhan di sini. Sedangkan berpuasa di bulan selain Ramadhan seperti hari ini pun terasa seakan istimewa, apatah lagi sekiranya berpuasa pada bulan Ramadan di sini, di bulan yang Allah lipatgandakan lagi pahala amalan berpuasa. Seakan terbayang berqiyamullail dan berpuasa di sini, merebut Lailatul Qadar bersama berjuta lagi umat Muhammad di kota Mekah ini.



Mereka ini mungkin tertidur kerana letih berpuasa

Hari ini kami tidak bertawaf selepas Asar. Kami meluangkan masa menghabiskan Bacaan Al Quran. Alhamdulillah, hari ini dalam sejarah, selepas sebulan di sini, akhirnya saya mengkhatamkan bacaan Al Quran yang bermula di sini sejak hari pertama lagi, selepas waktu Asar. Suami? Dia sudah khatam beberapa hari sebelum ini.

Menyentuh mengenai Khatam Al Quran, sekiranya mampu cubalah niatkan untuk khatam Al Quran di sini semenjak di Malaysia lagi. Fahami sekali tafsir Al Quran berbahasa Melayu, kerana pada masa inilah peluangnya untuk kita mengkaji dan memahami Al Quran. Percayalah..sekiranya di gunakan dengan sebaik-sebaiknya, kita mampu khatam Al Quran dan memahami tafsirnya sekali. Lain pengalamannya jika kita tahu apa isi kandungan yang dibaca.


 
 Al Quran di Masjidil Haram


Akhirnya kami berbuka di Masjidil Haram, dengan perasaan yang amat bersyukur. Kami berbuka ringkas-ringkas sahaja, dengan kurma, air zam-zam dan roti ringan. Kami menyambung semula berbuka puasa kami dengan makanan yang di sediakan muassasah selepas kembali ke hotel selepas Isya'.

Di lobi hotel, terlihat Madu Yaman dari habbatus sauda amat terkenal yang telah lama di jual di sini meski sejak hari pertama di sini. Wahh harga asal RM 80 sudah turun ke RM 30. Telah saya katakan sebelum ini, harga barang-barang di sini berubah mengikut musim. Sangat jauh bezanya.

Di lobi hotel, juga terjumpa dengan Kak Ida dan Abang Bujang. Menceritakan rancangan mereka untuk ke Tanaim bermiqat umrah pada malam ini. Mereka mengajak kami bersama.

Kami berpandangan sesama sendiri. "Mahu ikut?" suami bertanya pendapat saya.

Ya, walaupun sebelum ini sudah memutuskan bahawa cukup-cukuplah umrah kami sebelum ini, tetapi mungkin kerana mandapat tenaga yang berlebihan kerana 'berpuasa' tadi, maka fikiran kami berubah. Saya bersetuju untuk menunaikan umrah pada malam ini. Lagipun kami tidak pernah pergi ke Tanaim pada waktu malam untuk bermiqat umrah, jadi pastinya ia adalah satu pengalaman yang berbeza, sangat menarik untuk kami cuba.



Kami berjanji untuk berkumpul semula selepas Isya'.




Tuesday, April 17, 2012

Day 32 (23 November 2011,Part 2) - Ada apa dengan Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

Surah As Sajjadah Ayat 15

Sekitar Kaabah suatu waktu dahulu, bukan hanya ada Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail sahaja, tetapi ada lagi bangunan kecil yang lain


Menyebut tentang Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail, pastinya ramai yang tertanya-tanya apakah keistimewaan dua lokasi yang amat berdekatan dengan Kaabah ini sehinggakan orang ramai sanggup bersesak-sesak dan berebut untuk dekat padanya?

Ya, selain daripada tempat yang di percayai mustajab doa, adalah lebih afdhal kita solat di belakang Maqam Ibrahim atau pun di dalam  Hijir Ismail, sekiranya berkemampuan.

Sebut sahaja Maqam Ibrahim, pasti ramai yang menyangka, ia adalah Maqam Nabi Ibrahim, iaitu tempat Nabi Ibrahim a.s bersemadi, bukan? Tapi tidak sama sekali. Maqam Ibrahim bukanlah tempat di semadikan Nabi Ibrahim a.s seperti sangkaan kebanyakan, tetapi ianya merupakan bangunan kecil seperti sangkar yang bewarna keemasan yang terletak di sebelah timur Kaabah. Maqam Ibrahim adalah salah satu tanda kekuasaan Allah dan mukjizat Nabi Ibrahim a.s, kerana di dalam sangkar emas kecil ini terletaknya seketul batu yang pejal dan keras dan mempunyai bekas tapak Nabi Ibrahim a.s. Dipercayai batu ini telah di turunkan dari syurga bersama Hajar Aswad. Di riwayatkan bahawa batu yang pejal dan keras ini menjadi lembut ketika di pijak oleh Nabi Ibrahim a.s sehingga membentuk takap kaki baginda yang berukuran panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm . Di atas batu inilah Nabi Ibrahim a.s telah berdiri berdiri sewaktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya.

Setelah masa berlalu, batu yang masih dipelihara oleh Allah s.w.t ini telah di ikat dengan perak dan terbinan sangkar yang ada seperti sekarang ini, atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbas.
Maqam Ibrahim suatu ketika dahulu

Maqam Ibrahim 1387 Hijiriah

Maqam Ibrahim lagi...sebelum menjadi bentuk yang seperti sekarang ini

Dan terkini..Maqam Ibrahim. Seronoknya jadi mereka ni..dapat bersolat betul-betul di belakang Maqam Ibrahim tanpa sesak

Hijir Ismail pula ialah sebuah lingkungan yang berbentuk separa bulatan yang terletak di utara Kaabah. Hijr Ismail pada asalnya ialah tempat berteduh Nabi Ibrahim a.s dan seterusnya dijadikan oleh baginda sebagai  kandang kambing kepunyaan Nabi Ismail a.s. Diingatkan bahawa di larang melakukan tawaf di dalam Hijir Ismail kerana ia adalah sebahagian daripada Kaabah.

Hijir Ismail suatu waktu dahulu. Tidaklah sesak seperti sekarang ini

 
Hijir Ismail ketika ditutup untuk pembersihan, waktu solat dan sebagainya.

Hijir Ismail yang sedang di cuci



Hijir Ismail sekarang, pemandangan dari dalam


Walau apa pun kisah yang berlaku di sini bertahun-tahun dahulu, apa yang pasti memijak kaki di sini memberikan perasaan yang berlainan. Membawa kita ke satu dimensi yang tak pernah di rasai. Memberikan ketenangan dan satu perasaan yang sukar di tafsirkan.

Allah itu Maha Kuasa..


Nota:Sumber gambar daripada google




Friday, April 13, 2012

Day 32 (23 November 2011, Part 1) - Keajaiban di Hijir Ismail

(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Surah Al Imran Ayat 8




Hijir Ismail yang sentiasa sesak di musim Haji


Begitu juga dengan Maqam Ibrahim..sentiasa menjadi tumpuan


Beberapa hari selepas 'berehat' dari umrah, rutin kami agak berubah sedikit. Saya akan melakukan tawaf sunat sekurang-kurangnya sehari sekali, manakala suami akan melakukan tawaf sunat sekurang-kurangnya dua kali sekali.
Di Masjidil Haram walaupun ramai jemaah haji telah beransur-ansur meninggalkan Mekah, tetapi dataran tawaf masih lagi penuh. Masih lagi sesak. Kalau ikutkan hati pasti mahu bertawaf berulang-kali, kerana kenikmatannya tidak dapat di gambarkan. Tetapi masa tidak mengizinkan. Kesesakan menyebabkan pusingan tawaf di dataran tawaf menjadi lebih besar dan tawaf menjadi lebih lama.

Malam semalam baru dia buka rahsia. Ketika kami berjalan keluar melalui pintu Babul Fatah, selepas Solat Isyak.

"Saya pernah berdoa di Maqam Ibrahim, bersembahyang di Hijir Ismail dan berada sangat dekat dengan dinding Kaabah dan Hajar Aswad." kata suami menceritakan 'aktivitinya' sekiranya tawaf seorang diri tanpa saya.

Waahh.. mengambil kesempatan ketika tidak bersama-sama saya?? Betapa cemburunya saya dengan ‘aktiviti’ suami saya sepanjang tidak bersama-sama saya... Bagaimanapun saya faham mengapa dia hanya melakukan ’aktiviti’ tersebut bersendirian kerana risikonya agak tinggi.


Sekiranya bersama saya, tidak pernah sekali pun kami berdekatan Maqam Ibrahim, Hijir Ismail, dinding Kaabah dan jauh sekali Hajar Aswad. Ia adalah "black area" ketika waktu puncak. Ramai jemaah berebut-rebut untuk ke sana. Ia sangat padat dan sangat sesak. Ia di penuhi oleh mereka yang berbadan besar dan gagah. Tolak menolak, himpit menghimpit sentiasa berlaku. Dan pastinya demi menjaga keselamatan saya, dia menjauhi lokasi-lokasi tersebut.

"Kalau orang tak ramai, saya mahu juga," kata putus saya.

"Amboi, cita-cita tinggi tapi nanti bila tawaf macam ikan kelemasan," usiknya.

"Kalau orang tak ramai saya mahu juga," nada saya penuh pengharapan dan ianya seperti satu doa.



Perjalanan ke Masjidil Haram


Pagi tadi. Pagi yang tidak pernah hening di Mekah. Tidak pernah sunyi.

Kami bangun pada pukul 2.30 pagi dan bergerak dari hotel lebih kurang pukul 2.45 pagi. Dari jauh mataku sudah fokus nun jauh di sana di dataran tawaf. Sudah tidak menoleh ke arah yang lain.  Alhamdulillah, ada harapan di situ. Orang tidak ramai.

Kami mula bertawaf. Tawaf pusingan pertama dan kedua, ianya berjalan sangat lancar dan pantas. Dapat berzikir dengan tenang, dapat berjalan dan menghayati ibadah ini dengan sangat selesa. Tiada lansung tolak menolak berlaku. Tiada himpitan. Pergerakan sangat licin.

Tawaf pusingan ketiga, suami mula sedikit demi sedikit memandu kami mendekati Kaabah. Saya pun tidak sedar entah bila, dan ianya berlaku dengan sangat pantas, kami sudah betul-betul berdiri berdekatan Kaabah. Hanya beberapa orang yang memisahkan kami dengan dinding Kaabah. Saya tidak pernah melihat dinding Kaabah serapat itu. Sangat teruja. Sangat riang. Sangat gembira. Dan..sangat berdebar.

"Nampak tu Hajar Aswad? Nampak tak mereka yang berebut-rebut untuk mencium Hajar Aswad? Nampak tak mereka yang panjat bersidai di tepi dinding untuk menunggu giliran untuk mencium Hajar Aswad? "Tunjuknya.

Hajar Aswad yang sangat sesak di Musim Haji. Ada anggota polis yang mengawal keadaan. Sebenarnya keadaan ini sangat dashyat. Boleh tersepit.

Mereka sanggup bersidai beberapa jam di tepi dinding Kaabah berdekatan Hajar Aswad semata-mata untuk mencium Hajar Aswad


Bertolak-tolakan jika terlalu ramai.


Saya menoleh tanpa menggerakkan bahu kerana pada masa itu kami masih lagi bertawaf. Ya, saya nampak semua itu. Dan walaupun saya tidak nampak dengan amat jelas, tetapi bunyi gegak gempita orang bertolak-tolakan menerangkan segala-galanya. Masya Allah.

Dan kami mula melangkah menuju ke Maqam Ibrahim.Hati saya berdebar-debar bak sang kali pertama bertemu sang kekasih. Kami berjalan antara ramai manusia dan lalu betul-betul di sebelah Maqam Ibrahim. Subhanallah, saya nampak semuanya. Saya nampak tangan-tangan melekat dan mencium Maqam Ibrahim. Kami lalu betul-betul di sebelah Maqam Ibrahim. Saya tak dapat menahan tangan saya dari turut sama menyentuh Maqam Ibrahim. Suami saya melarang,"Jangan sentuh, bidaah nanti."

"Saya saja nak merasa, bukan sebab bida'ah." balas saya. Bida'ah kalau percaya jika menyentuh Maqam Ibrahim doa akan di kabulkan atau sebagainya.
Maqam Ibrahim dari luar, seperti sangkar emas


Di dalam Maqam Ibrahim, inilah dia..bekas tapak kaki Nabi Ibrahim a.s



Kami mara ke depan lagi.Kami lalu betul-betul di tepi Hijir Ismail. Segala-galanya berlaku begitu pantas. MasyaAllah. Orang ramai berebut-rebut mahu masuk ke dalam Hijir Ismail. Dengan jelas saya dapat lihat Hijir Ismail. Saya tidak pernah sedekat ini dengan Hijir Ismail. Alhamdulillah.
Hijir Ismail..sangat padat

Tujuh pusingan tawaf berlaku dengan sangat pantas. Tak sampai setengah jam kami sudah menghabiskan tawaf.  Dan setiap pusingan yang seterusnya, setiap kali kami melalui Maqam Ibrahim, saya segera mengambil kesempatan itu untuk berdoa apa sahaja yang terlintas di fikiran. Ia saat-saat yang di ingati. Dan tidak mungkin sekali pun dilepaskan dengan sia-sia.


Akhirnya selesai tujuh pusingan.

Tetapi kami tidak segera keluar dari lautan tawaf. Dengan perlahan-lahan suami membawa saya menuju ke tepi luar Hijir Ismail. Betul-betul di hadapan Hijir Ismail. Saya menyentuh dan berpaut rapat pada dinding Hijir Ismail. Dan dengan jelas penglihatan di hadapan adalah mereka yang sedang bersesak-sesak di dalam Hijir Ismail. Sangat padat. Saya segera berdoa di tepi Hijir Ismail. Walaupun hanya di luar. Saya tidak putus asa dan putus harap. Di luar pun jadilah..begitu kata hati saya.
Memandang Hijir Ismail dari luar dinding


Tanpa di sedari semasa saya berdoa suami memerhatikan keadaan di pintu masuk Hijir Ismail. Perlahan-lahan kami menghala ke pintu masuk Hijir Ismail. Dan mara ke depan lagi..masuk dalam lagi. Dan lagi. Setapak demi setapak. Dan entah bila, dalam kesesakan saya tidak perasan, kami sudah betul-betul berada di dalam Hijir Ismail. Tiba-tiba sahaja kesesakan yang saya lihat daripada luar Hijir Ismail tadi lansung tidak terasa. Banyak ruang kosong di antara kami dengan orang lain. Terasa seakan hanya kami berdua sahaja, walaupun hakikatnya tidak begitu. 


 Dan akhirnya saya betul-betul berdiri di depan Kaabah.Di tepi dinding Kaabah. Kaabah betul-betul di hadapan mata saya. Tiada penghalang walaupun seekor lalat. Mahupun sebesar hama. Sangat rapat. Ya Allah, Alhamdulillah, saya dapat memegang dinding Kaabah. Saat ini. Tiba-tiba detik seakan terhenti. Saat ini yang akan saya ingat seumur hidup ini. Lama kami di situ.


Memegang dinding Kaabah
Perasaan ini tentu tidak dapat di rasai oleh mereka yang bukan pergi sewaktu haji di musim puncak, oleh mereka yang pergi ke Baitullah semasa musim umrah, di kala orang tidak terlalu ramai dan mudah untuk pergi ke tempat-tempat ini. Perasaan yang satu ini. Iaitu perasaan menghargai, kagum dan bersyukur akan kekuasaannya yang Maha Agung. Perasaan yang sangat dekat padanya. Perasaan di anugerahi sesuatu yang telah lama di dambakan seumur hidup ini. Walaupun saya baru menyedari dan dambakannya walau semalam.

Nyatalah..kekuasaan Allah tiada siapa dapat menyangkalnya. 'Kun fayakun..'

Akhirnya kami berdua perlahan-lahan keluar dari dataran Kaabah.Kami berpisah untuk masing-masing menunaikan solat sunat tawaf.

Airmata saya berjurai tanpa dipinta semasa sedang menunaikan solat sunat tawaf. Akhirnya saya dapat merasai kemanisan dan nikmat yang sebenar-benarnya. Yang tidak dapat di terangkan dengan kata-kata. Tuhan jangan buat saya lupa akan nikmatMu. Berilah saya taufik dan hidayatMu.

Saya amat bersyukur. Tuhan beri saya peluang dan kesempatan ini. Yang sebelum ini saya tidak terlintas pun kerana mahu mengelakkan dari berebut dengan mereka yang gagah. Tetapi hari ini Allah permudahkan segalanya tanpa kami perlu berebut. Ia seakan-akan sudah di takdirkan. Akan saya ingati saat ini sampai bila-bila. Nikmat ini.

Kami berjumpa semula selepas solat Solat Subuh.

"Lepas Asar nak tawaf macam tadi jugak boleh tak?" pinta saya, serius. Oh, saya jadi ketagih. Perasaan itu tidak dapat di terangkan. Sudah di berikan betis mahukan peha.

Selepas sarapan pagi kami kembali semula ke bilik. Seperti biasa selepas mandi saya akan segera melabuhkan badan untuk berehat dan tidur agar bertenaga dan segar semula pada waktu Zohor nanti. Saya tersenyum. Pusing kanan, pusing kiri. Masih terbayang-bayang suasana tadi. Anugerah yang tadi. Puas saya pujuk mata untuk lelap tetapi tidak mahu tetapi akhirnya kerana sangat letih saya tertidur juga sambil tersenyum.

Selepas Asar.
Orang agak sesak berbanding sebelum Subuh tadi. Kami dapat juga bertawaf di tepi Maqam Ibrahim di tengah-tengah kesesakan tersebut. Dapat juga berdiri di tepi Hijir Ismail, Alhamdulilah tetapi tidak dapat masuk ke dalam Hijir Ismail kerana ia di tutup untuk pembersihan.
Pekerja sedang membersihkan Hijir Ismail.
Sejuta kali Alhamdulillah, saya dapat merasai pengalaman berharga ini walaupun kami hanya ada beberapa hari lagi untuk ke Madinah. Kalau ada kemahuan pasti ada jalan. Gabungkan usaha, doa dan tawakal dan yang paling penting keselamatan mesti di jaga.


Memegang dinding Kaabah


Allah beri hidayat pada saya. Tiba-tiba saya memutuskan untuk berpuasa sunat pada esok hari. Ia kemahuan yang datang tanpa di pinta. Puasa sunat bukan salah satu senarai azam semasa mula-mula tiba di sini.  Ia datang secara tiba-tiba pada saat ini. 


Puasa sunat di Mekah sama pahala dengan puasa seribu hari di Malaysia. Saya akan rebut kesempatan itu. Tiba-tiba saya jadi cemburu kepada mereka yang berpuasa di sini. Saya pun mahu juga.


Nota: Kerana sangat teruja, saya tidak sempat mengambil gambar. Gambar-gambar di atas adalah sumber dari google dan amat tepat menceritakan keadaan pada waktu itu.

Thursday, April 12, 2012

Day 31 (22 November 2011) - Surrati Perfume

Rasulullah s.a.w mempunyai tubuh badan dan bau yang wangi dan segar semula jadi. Wangian ini melebihi wangian yang wujud di dunia ini. Anas r.a menceritakan yang bermaksud: “Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi dari bau Rasulullah s.a.w.” (Hadis sahih Bukhari Muslim)"Walaupun begitu baginda tetap memakai minyak wangi yang dipanggil sukkah" (Hr Abu Daud – sanad hasan).
Rasulullah s.a.w suka pada wangian, malah di riwayatkan bahawa peluh baginda juga berbau wangi, lebih wangi daripada wangi-wangian. Baginda tidak suka kepada bau busuk. Malah Rasulullah s.a.w juga amat menitik beratkan kebersihan serta memulakan mandi wajib dan mandi sunat yang pada mulanya di anggap berat oleh Orang Arab pada zaman itu.  Oleh kerana kesukaan Rasulullah s.a.w kepada wangian ini maka mungkinkah sekarang ini orang Arab terkenal dengan wangian?

Kebiasaannya bau-bau Arab di kaitkan dengan bau minyak Atar, ataupun bau Arab, iaitu baunya memang agak keras.

Saya juga suka kepada wangian dan bercadang mahu membeli beberapa wangian untuk di bawa pulang ke Malaysia untuk di hadiahkan kepada keluarga/sahabat dan juga pastinya untuk kegunaan sendiri. Tetapi seriously saya katakan TIDAK kepada bau minyak atar. Mungkin ada yang suka tetapi saya lebih suka kepada bauan yang agak lembut. Oleh kerana kehendak saya inilah, yang menyebabkan kami telah beberapa kali survey bauan dan wangian yang di jual di beberapa kedai di Mekah. Wangian, ianya amat mudah di dapati tidak kira di kedai-kedai tepi jalan atau di Abraj Al Bait.

Hasil daripada pencarian kami, akhirnya kami menemui kedai pemborong wangian yang terkenal di Arab Saudi, iaitu Surrati Perfume. Kebetulan dan amat bernasib baik kerana Surrati Perfume Wholesaler ini terletak berhampiran hotel penginapan kami.

Sebelum ini kami telah selidiki wangian-wangian lain di pelbagai kedai. Tetapi kami dapati di Abraj Al Bait, wangiannya asli dan wangi cumanya harganya amat mahal. Manakala di kedai-kedai kecil yang lain, harganya mungkin agak murah tetapi kami agak ragu-ragu akan keasliannya.

Di Surrati Perfume ianya tidak begitu. Oleh kerana kedai ini adalah pemborong, maka kami dapatnya dengan harga murah, tidak seperti Surrati Perfume yang di jual oleh retailer di Abraj Al Bait. Baunya pulak amat tidak sama dengan bau minyak atar dan yang paling penting, ia tanpa alkohol.
Surrati Perfume, kami datang!


Melangkah ke dalam kedai ini, deria bau segera di penuhi dengan bau wangian yang pelbagai. Kami segera di sapa oleh tokey kedai tersebut yang kebetulan ada turut sama menjaga kedai, beliau juga mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris secara broken diselangi dengan Bahasa Arab, namun kami tetap bernasib baik sebab sekurang-kurangnya dia dapat menjawab perlbagai pertanyaan kami tentang wangian yang terdapat di situ!
Deretan wangian yang mempunyai pelbagai bau

"Min Aina?" dia bertanya kepada suami saya. Mungkin dia tidak pasti dengan bangsa kami agaknya. Kami pada masa itu tiada lansung pengenalan diri yang menandakan kami dari Malaysia.

"Ana Min Malizia" jawab suami saya.

"Wa Anti? Anti min Filipina?" dia mengarahkan soalannya kepada saya pula. 

Kami tersenyum simpul. Suami saya dari Malaysia takkan pula saya dari Filipina kan? Lawaknya lah tokey kedai ini. Tetapi kami tidak hairan mendengar agakannya itu kerana dia bukan orang yang pertama menyangka kami dari negara lain selain Malaysia!
Namun begitu, dia memang peramah, dan telah baik hati memberi kami diskaun! Kami telah membeli dua botol besar wangian Danhill Brown dan Sandal Rose, kedua-duanya berharga SR 50 dan SR 65 dan yang pentingnya isi wangian di dalam botol besar tersebut boleh dimuatkan kedalam 25 botol kecil yang kosong yang juga ada di jual di sini! Kalau beli di kedai-kedai biasa 1 botol kecil yang telah penuh di isi harganya SR 10. SR 10 di darab dengan 25 jadi SR 250. Lihat betapa jimatnya wangian yang di beli di sini. Cumanya kita kena beli dalam botol yang besar jadi mungkin agak kurang sesuai untuk orang yang ingin mencuba pelbagai jenis wangian.
Banyak wangian jenis lain yang amat popular seperti “Sultan Brunei”, “Hajar Aswad”, “Raudhah” dan etc yang berharga sekitar SR 120 – SR 200. Selain faktor kos, kami juga lebih menyukai bau Danhill Brown dan Sandal Rose.

Danhill Brown dan Sandal Rose yang besar. Pada mulanya kami ingin membeli jenis "Roma " yang amat terkenal, tetapi pada masa itu tiada stok.

Botol-botol kecil atau besar yang kosong untuk di isi dengan minyak wangi yang di beli mempunyai pelbagai bentuk yang menarik. Bukanlah boleh didapati secara percuma, tetapi boleh di beli di sini, Makin cantik atau besar bentuknya,semakin mahallah harganya.

Bekas-bekas wangian yang kecik yang cantik bentuknya. Wangian yang dibeli boleh di masukkan ke dalam bekas kecil seperti ini untuk di hadiahkan dan di bahagikan kepada keluarga/saudara/sahabat

Yang ini bekas yang besar.

Ini bekas yang kami beli dengan harga SR 15


Bekas-bekas kecil kosong, harganya lebih murah iaitu SR 1 sebotol. Yang ni paling banyak kami beli.
Danhill Brown dan Sandar Rose ni baunya boleh di pakai oleh tak kira lelaki dan wanita. Kalau wangian yang khas untuk wanita sahaja, pilihannya amat banyak dan saya agak-agak tergoda mahu membelinya, tetapi suami mengingatkan saya beli dua jenis yang boleh di beri kepada lelaki atau pun wanita dan jangan sampai terover budget dan mengikut nafsu pula. Sebab itulah kami memilih dua jenis wangian tersebut.

Selain daripada wangian berbentuk perfume, terdapat juga pelbagai jenis bedak talkum yang sangat wangi yang boleh di dapati dengan harga semurah SR 10.










Selamat tinggal Surrati Perfume! Sekiranya kami berpeluang ke sini lagi dan mahu membeli wangian, kami pasti akan cari kedai pemborong Surrati ini!

Alang-alang menyebut mengenai wangian, ingin di kongsikan di sini hadis yang menyebut tentang wanita dan wangi-wangian. Hadis oleh HR Tarmizi dan Ahmad Hasan yang bermaksud: "Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan lalu pada sekumpulan manusia supaya lelaki tadi itu menghidu bau wanginya maka wanita tadi mendapat dosa zina."

Bukanlah wanita itu dilarang sama sekali menggunakan bau-bauan bila dia keluar tetapi yang dilarang adalah yang sehinggu dihidu oleh orang sekilingnya. Janganlah wanita itu memakai dan meninggalkan bau-bauan sehingga menyebarkan bau yang tidak elok dan menggoda orang sekitarnya. Pakailah untuk diri sendiri rasa sedap dan tidak berbau busuk. 

Namun begitu yang paling penting dan tidak melanggar hukum syarak ialah sekiranya memakai di rumah bersama suami!

Wednesday, April 4, 2012

Day 30 (21 November 2011, Part 2) - Kubu Ajyad yang di runtuhkan

Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).

 
Aurah Al-An'aam Ayat 72


Seharian di Masjidil Haram, kadang-kadang kami berdua suka berjalan sekeliling masjid untuk ‘explore’ persekitaran kota Mekah.

Hari ni selepas Asar kami memutuskan untuk berehat-rehat di dataran masjid berhadapan dengan Menara Zamzam. Tujuannya ialah untuk menenangkan fikiran disamping memerhatikan ragam umat Islam dari pelbagai bangsa dan negara disamping menikmati juadah ringan yang dibeli. Bukan senang hendak mendapat peluang seperti ini di Malaysia dan banyak pengajaran/ilmu yang dapat kita kutip hanya dengan pemerhatian seperti ini!

Menuju ke Menara Zamzam dari masjidil haram....


Dari jauh sudah nampak ramainye orang menghala ke Menara Zamzam...kami bakal join mereka!

 
Destinasi pilihan kali ini..Abraj Al Bait!!


Itu dia...Abraj Al Bait Shopping Center..kami suka juga ke sini..tetapi barang yang di beli boleh di kira dengan jari.


Ala-ala KLCC Mekah


Dah beli barang, duduk sini pula. Mereka kat sana tu duduk-duduk seberang kami.


Makan aiskrim ni..lazat!! Aiskrim Mekah memang sangat lain dengan aiskrim di Malaysia
Berkunjung ke Menara Zam Zam dan Abraj Al Bait, tidak sah jika kita tidak ambil tahu sejarahnya. Sebelum Zam Zam Tower dan Abraj Al Bait dibina, di sini terletaknya Kubu Ajyad.

Kubu Ajyad telah di bina oleh kerajaan Turki Othmaniyah pada abad ke 18, iaitu pada tahun 1781 (menurut sumber-sumber lain ia di bina pada tahun 1777 atau 1780). Tujuan kubu ini di bina pada masa itu adalah untuk memelihara Kaabah dan Mekah daripada penceroboh.


Kubu Ajyad satu ketika dahulu, percaya tak..di sini terletaknya Abraj Al Bait sekarang ini?sources gambar:google


  
sources gambar:google
                                    



Sebenarnya, semasa mula-mula Kerajaan Arab Saudi menyistiharkan akan memusnahkan Kubu Ajyad dan membangunkan semula Mekah dengan hasrat menjadikan Mekah bandar abad 21, dan seterusnya menukar destinasi ibadat haji ini kepada bandar contoh dari segi pembangunan dan pemodenan, ramai pihak yang menentang terutamanya kerajaan Turki yang menentangnya habis-habisan, menambahkan keretakan antara hubungan Turki dan Saudi.

Kubu Ajyad ini adalah tinggalan sejarah yang terakhir oleh kerajaan Turki Othmaniyah, yang mana beberapa tinggalan sejarah mereka seperti rumah, maqam, istana dan kubu kesemuanya telah habis di musnahkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk memberi laluan kepada pembangunan Mekah.

Kerajaan Turki mendakwa tindakan ini bukan sahaja tidak menghomati sejarah Islam, tetapi antara usaha untuk memadamkan kesan-kesan sejarah Turki Othmaniah daripada dunia ini.

Manakala kerajaan Arab Saudi yang berfahaman Wahabi, yang mana mereka berpegang dengan fatwa tempat tinggalan Rasulullah dan sahabatnya adalah bidaah, dan telah perlahan-lahan meruntuhkan semua sejarah dan senibina yang telah di asaskan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat dan juga kerajaan Islam selepas itu. Antara yang telah dirobohkan ialah rumah Saidatina Khadijah dan Rasulullah s.a.w. (lihat entri
http://ijaie.blogspot.com/2012/03/day-25-17-november-2011-part-2-rumah.html)





Kubu yang diratakan tanpa sebarang kesan.Dengan satu malam sahaja bukit yang menempatkan kubu ini juga turut diratakan.Begitu juga seluruh penduduk yang mendiami kawasan tersebut telah di pindahkan ke pinggir-pinggir Mekah dan bandar-bandar yang berdekatan. Gambar dari google.



Segala runtuhan tersebut kini diganti dengan bangunan-bangunan moden yang menjadi mercu tanda baru Kota Makkah



Sabda Rasulullah s.a.w bahawa antara tanda akhir zaman ialah bangunan-bangunan tinggi tegak melangit, tumbuh bagai cendawan. Nampaknya, bangunan tinggi tersebut sudah berada benar-benar di hadapan rumah Allah s.w.t., megah melangit dan betapa kecilnya Kaabah di samping Menara Zam Zam tersebut.
Lagi sabda Rasulullah s.a.w mengenai tanda akhir zaman ialah pengembala kambing membina bangunan tinggi. Saya pernah menonton cerita seorang ustaz dalam sebuah rancangan di TV9 baru-baru ini. Gurunya seorang sheikh di Mekah telah bercerita kepadanya bahawa jirannya seorang pengembala kambing juga telah sama-sama dalam pembinaan Abraj Al Bait.

Dan sekarang, pembangunan sekitar Mekah sangat giat di jalankan semuanya dengan tujuan untuk memudahkan dan keselesaan para jemaah haji. Persoalannya, adakah kerajaan Arab Saudi dapat menjamin bahawa harga untuk menunaikan Fardhu Haji/Umrah di masa hadapan tidak naik mendadak supaya golongan biasa atau miskin akan mampu menunaikan Fardhu Haji/Umrah?



Construction yang sedang giat dijalankan di sekiling Masjidil haram
Pelan Pembangunan Mekah



Mekah di masa akan datang



Wallahualam, segala yang baik adalah datangnya dari Allah s.w.t