Commercial Break

Friday, March 30, 2012

Day 28 (20 November 2011, Part 2) - 'Ustaz Ustazah' Mekah




Ilmu yang bermanfaat akan mengalir keberkatannya seperti air zam zam yang tak pernah putus. Gambar: Kontena air zam zam. sources: google

Kemusykilan tentang ibadat haji adalah perkara biasa di Mekah. Ia termasuk juga ketidak tentuan perasaan, keraguan dan tertanya-tanya. Sebagai contohnya mengenai rasa ragu-ragu tentang ibadat yang di lakukan, adalah seperti aturan-aturan haji, pantang larang dalam ihram, dam-dam yang perlu dibayar dan banyak lagi ketidakpastian semasa melakukan ibadat ini. Kadang-kadang, walaupun kita telah lengkap pergi kursus haji setiap minggu di Malaysia, dan kita juga telah cuba mempersiapkan diri dengan pembacaan-pembacaan, tetap ada juga persoalan dan kemusykilan yang bermain di hati. Dalam hati pasti akan tertanya-tanya, "Apakah benar yang aku laksanakan ini? Adakah cukup syarat-syaratnya? ," dan bermacam-macam lagi persoalan berlegar di fikiran. Ia semua dengan niat yang satu, iaitu ingin mendapatkan haji yang sempurna.

Kerana itu, keluarlah perlbagai tekaan. Keluarlah perlbagai andaian. Maka muncullah 'ustaz' atau ustazah' tidak bertauliah di Mekah. Niatnya baik, ingin membimbing rakan-rakan ke lorong yang sebenar, tetapi tanpa ilmu yang mencukupi, bimbang tersilap dan tersesat jalan dan akhirnya ibadah yang di laksanakan tidak sempurna. Islam itu mudah, tetapi ilmu di dada perlu cukup untuk memastikan kita menjadi umat yang diberi petunjuk dan hidayahNya.

Jika terasa musykil dan keraguan mula bermain di hati, pergila berjumpa dan bertemu dengan ustaz/ustazah pembimbing Jemaah Haji yang disediakan oleh Tabung Haji. Pembimbing ini jika tidak salah akan ditempatkan disemua hotel-hotel atau maktab-maktab Tabung Haji. Jika melalui pakej pun turut disediakan pembimbing cumanya saya kurang pasti sama ada disediakan di setiap hotel/maktab pakej. Tanyalah apa sahaja. Mereka pasti akan cuba membantu. Jangan kita jadi ustaz/ustazah sendiri. Bimbang pahala bertukar dosa andai ilmu diberi melencong dari kebenaran.

Mengenai 'ustaz' dan 'ustazah' tidak bertauliah di Mekah, makcik makcik di bilik saya mengalaminya sendiri. Ia berlaku baru-baru ini. Berhampiran hotel kami terdapat sebuah masjid kecil. Lebih kurang 50 meter sahaja jauhnya. Ramai warga emas di hotel kami yang tidak mampu ke masjidil haram akan bersembahyang disitu.
Suatu hari, seorang makcik di bilik saya membawa balik cerita. Seorang jemaah wanita Malaysia yang di jumpai di masjid telah memberitahu mereka tentang beberapa perkara. Ia seumpama 'usrah' kecil di sudut masjid terbabit.

Pertama ialah mengenai hukum bermiqat di Jaranah untuk mengerjakan umrah. Katanya bermiqat di Jaranah pahalanya seperti mengerjakan satu haji. Maka menggalakkan dan menerbitkan cita-cita di kalangan pendengar untuk bermiqat di Jaranah kerana niat untuk mendapat pahala haji.
Kedua ialah bersembahyang di mana-mana lokasi di tanah haram ini pahalanya sama sahaja seperti sembahyang di masjidil haram. Maka ia menggalakkan perasaan tidak apa-apa sekiranya tidak bersembahyang di masjidil haram.

Saya yang mendengar di suatu sudut bilik hanya diam sahaja. Tetapi air yang tenang jangan di sangka tiada buaya. Dalam hati dan fikiran sudah bermain-main. Mula mencari-cari. Mula berfikir tidak berhenti. Rasa macam nak membantah dan amat tidak setuju dengan pendapat itu tetapi saya tidak  berkata apa-apa kerana saya perlu meyakinkan mereka dengan kata-kata ustazah, bukannya datang daripada saya sendiri. Saya tidak mahu jadi ustazah tidak bertauliah tanpa benar-benar yakin bahwa ia datang dari sumber yang benar.Malam itu tanpa berlengah segera berjumpa ustazah. Ustazah mengesahkan apa yang saya rasa. Malah beliau juga memberitahu kami betapa ramainya ustazah ustaz tidak bertauliah di sini.

Kata ustazah..



Masjid Jaranah

Pahala bermiqat umrah di Jaranah adalah sama sahaja dengan pahala bermiqat di mana-mana miqat. Cuma mungkin itu adalah tempat miqat Rasullullah s.a.w, maka terbitlah andaian yang mengatakan pahala bermiqat di Jaranah sama dengan pahala satu haji.

Dan pahala mereka yang bersembahyang di Masjidil Haram, tentu tak akan sama dengan yang bersembahyang di hotel, kerana pahala berjalan kaki ke Masjidil Haram, memandang Kaabah, bertawaf, membaca Al Quran dan beriktikaf di Masjidil Haram adalah sangat besar dan di rahmati dengan rahmat yang besar juga.


Balik ke hotel saya segera menyampaikan 'kuliah' saya pula,   :-).
Makcik-makcik di bilik saya, mereka mengambil iktibar dan lebih berhati-hati mendengar pandangan orang lain selepas itu.

Kesimpulannya, sekiranya ada kemusykilan, tanyalah mereka yang lebih arif, jangan segan kerana mereka selalu sedia membantu. Jangan jadi mereka yang tidak bertauliah dan akhirnya menimbulkan satu ajaran yang tidak betul. Sekiranya sudah yakin dan pasti akan kebenarannya, maka sebarkanlah ia tanpa henti.

Wednesday, March 28, 2012

Day 28 (20 November 2011, Part 1)-Uniknya cuaca di tanah suci dan cara untuk menghadapinya

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Surah Ibrahim Ayat 24


Gambar selingan dari Haji Information. Multazam
Ramainya orang didepan masjidil haram

Cuaca di Mekah semakin sejuk. Subuh tadi ia mencecah sehingga 21 darjah celcius. Ia seakan-akan berada di Cameron Highland.


Kami telah di beritahu sebelum ini. Semasa di Malaysia lagi. Oleh ustaz  di kursus-kursus haji. Malah oleh saudara mara, ibu, emak dan mereka yang berpengalaman ke sini sebelum ini, bahawa kami akan merasai cuaca sejuk Mekah dan Madinah. Cuaca sejuk amat sinonim dengan tanah suci apabila menghampiri akhir tahun.  Mereka yang pernah ke sini sangat mengingati cuaca di sini. Sangat hafal akan uniknya cuaca di tanah suci. Pasti ada yang rindu dengan keunikan cuaca di sini. Dan ingin merasainya walau sebentar cuma. 

Menghampiri November, Disember bermakna bermulalah musim sejuk di sini.

Semasa mula-mula tiba di sini, cuaca masih lagi panas. Ia seumpama panas di Malaysia. Malah kadang-kadang lebih panas dan terik dari Malaysia. Bezanya di sini cuaca panasnya kering. Tidak lembap seperti di Malaysia.


Ada seorang kawan yang pernah mengerjakan umrah memberitahu. Semasa dia mengerjakan umrah pada tahun sebelum itu, cuaca amat panas. Pertengahan tahun. Panas yang amat terik, iaitu 40 darjah celcius. Bayangkan. Angin yang menampar pipi terasa amat panas sehingga merah pipinya yang cerah.


Bersyukur kami mendengar cerita itu. Cuaca Mekah yang kami lalui tidak terlalu panas. Cuacanya seperti di Malaysia. Cuma kami kena atasi hawa yang kering. Alhamdulillah, selama di sini cuaca yang kering tidak pernah menyusahkan kami. Semasa di Malaysia lagi ibu sering mengingatkan saya tentang cuaca kering di Tanah Haram. Amat bermurah hati juga memberi tip-tip yang perlu untuk mengatasi keadaan ini.Antaranya ibu sering mengingatkan agar saya selalu memakai vaselin di sekitar mulut sebelum terjadinya kekeringan lagi.

Mana nak dapat vaselin? Wah itu soalan yang sangat mudah untuk di jawab. Ianya mudah didapati di farmasi seperti Guardian, Watson dan sebagainya. Saya dah siap-siap sedia beli vaselin sejak di Malaysia lagi, kerana vaselin di tanah suci tak sama dengan vaselin yang tedapat di Malaysia. Vaseline di Malaysia kualinya lebih baik. Saya pun tidak pasti mengapa tetapi makcik-makcik dibilik saya yang membeli vaselin di Mekah yang mengadu sebegitu. Mereka mengatakan vaselin Malaysia kualitinya lebih baik.






Selain dari itu, semasa di sana saya sentiasa memastikan saya memakai losyen,sekiranya mampu dan sempat pada setiap waktu dan ketika. Saya memastikan kulit saya lembap sentiasa untuk mengatasi cuaca kering Mekah. Ada beberapa produk yang boleh digunakan untuk mereka yang sedang berihram. Contohnya produk dari El Hajj. Produk-produk ini memang mensasarkan produk untuk digunakan semasa sedang berihram di Mekah dan boleh juga digunakan di Madinah. Antara contoh produk El Hajj ialah terdiri daripada Facial Cleanser, Body Wash, UV Cream dan EL Hajj Facial & Body Lotion. Saya hanya menggunakan rangkaian Body Wash, Body Lotion, moituriser dan sun block.

Untuk produk El Hajj boleh dapatkan di sini http://www.produkhajidanumrah.blogspot.com/ dan Facebook Produk Haji dan Umrah.




Rangkaian produk elhajj








Dan yang paling penting cream untuk crack heel. Banyak terdapat di farmasi, contohnya Elgy Cream. Kulit kaki merekah adalah antara masalah utama di sini. Bila merekah, pasti akan rasa sakit. Terutama untuk berjalan. Itu yang sering mak cik-makcik di bilik saya keluhkan.

Wah..rasa macam duta produk pula :-)


Yang sangat menariknya, cuaca yang kering menyebabkan biskut yang tinggal tanpa ditutup berhari-hari pun tetap rangup.


Dan peluh tidak bau hamis, tetapi bau kering. Erk..macam mana bau peluh yang kering? ha..kenala pergi haji atau umrah dulu...baru tahu.  Mereka yang pernah pergi, pasti terbayang-bayang lagi bau bagaimana yang saya maksudkan.

Paling menarik, baju yang di sidai akan kering walaupun sebentar cuma. Di bilik saya, toiletnya besar. Kami yang kreatif, membuat ampaian di dalam tandas dengan menggunakan tali rafia. Kami menyidai pakaian di dalam tandas, dan tak sampai sehari, pakaian yang di sidai akan kering. Sangat uniknya, tandas tiada bau kepam walau di penuhi pakaian basah.

Namun begitu, di tingkat atas sekali di roof top hotel kami, ada di sediakan tempat menyidai untuk jemaah. Ramai jemaah yang menggunakan perkhidmatan ini.


Tips yang paling penting kena banyak minum air. Minumlah air zam zam. Mungkin kita risau minum air banyak akan selalu nak ke tandas? Caranya jangan minum sekali banyak. Minum sikit-sikit. Selang 5 atau 10 minit minum seteguk dua. Pada saya, cara itu menjadi untuk mengelakkan terlalu kerap ke tandas.


Dan sekarang, pada waktu ini. Pada tarikh ini. Hari ke 28 kami di tanah suci, cuaca tidak lagi panas. Ia mulai sejuk. Semakin hari semakin sejuk. Di Masjidil haram, suhu sentiada di'update' oleh sign board besar di masjidil haram, bersebelahan Babul Fatah.


Mungkin cuaca sejuk tidak terasa sangat apabila kaki menjejak ke dalam masjidil haram, tetapi tidak jika berada di dataran tawaf atau di roof top bumbung masjidil haram yang mana tiada bumbung melindungi dari terkena hawa sejuk. Pagi tadi suami bersembahyang di dataran tawaf. Cuacanya sangat sejuk sehingga mencengkam tulang. Lantai yang di cium terasa dingin yang amat. Oleh sebab itu beliau mula membawa sejadah ke masjidil haram.


Apa yang mengkagumkan di sini ialah, matahari bersinar terik, tetapi sejuk. Jika kita berjalan di jalan yang lapang tanpa bumbung, matahari yang terik menyebabkan kita rasa panas. Jika kita berada di bawah tempat teduh dan di lindungi daripada matahari, cuaca terasa sangat sejuk sehingga menggigil.

Alhamdulillah saya dapat merasai hawa sejuk di Mekah, dan menyukainya.

Friday, March 23, 2012

Day 27 (19 November 2011, Part 3) -Senarai keperluan dan penyediaan untuk haji dan sebelum haji


Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.


Surah Luqman Ayat 10




Setelah beberapa lama berada di sini, bertambah pengetahuan dan pengalaman kami dalam hal-ehwal dan penyediaan keperluan diri untuk menunaikan Fardhu Haji.

Antara keperluan yang WAJIB dibawa dari Malaysia ialah vitamin atau ubat. Vitamin seperti Multivitamin dan Vitamin C sangat penting sebagai persediaan fizikal dan benteng kesihatan semasa menunaikan haji. Ubat seperti ubat selsema, demam dan batuk terutamanya, WAJIB di bawa kerana ubat di Tanah suci harganya jauh lebih mahal dari harga di Malaysia. Begitu juga dengan supplement untuk menguatkan sistem pertahanan contohnya madu. Anda boleh juga mencuba minyak kelapa dara atau Virgin Coconut Oil (VCO) keluaran bumiputera yang telah disahkan halal oleh JAKIM. VCO terbukti berkesan untuk kesihatan kulit anda. Anda di galakkan menggunakan Minyak kelapa dara atau VCO ini (boleh di makan dan juga di sapu) dari sekarang lagi, kerana antara masalah yang sering di hadapi oleh para jemaah ialah masalah kulit seperti kering, menggelupas, merah-merah dan gatal-gatal yang mana ianya boleh mengganggu mood dan ibadah.  Anda boleh dapatkan VCO yang bagus  di sini https://www.facebook.com/140014606149439/photos/pb.140014606149439.-2207520000.1393429898./290133657804199/?type=3&theater

Dari permerhatian kami, senarai barang yang harus di bawa dan kuantitinya adalah seperti berikut:-

Lelaki:-
*******

Kain Ihram - 2 pasang
Tali Pinggang Ihram - 1 utas
Baju Melayu - 2 helai
Singlet Berlengan - 2 helai
Baju biasa - 2 helai
Seluar Panjang - 2 helai
Kain pelikat - 1 helai
Tuala Mandi - 2 helai
Tuala Kecil - 1 helai
Stokin- 2 pasang
Selipar getah -1 pasang
Kasut biasa (lembut) - 1 pasang
Selimut (tidak terlalu tebal) - 1 helai
Baju sejuk - 1 helai


Perempuan
**********
Telekung - 2 pasang
Baju Kurung - 2 pasang
Maxi/jubah - 2 pasang
Baju tidur - 2 pasang
Kain batik - 1 pasang
Seluar panjang - 3 pasang
Stokin panjang - 3 pasang
Sarung tangan lengan - 2 pasang
Tuala Mandi - 2 helai
Tuala kecil - 1 helai
Selipar getah - 1 pasang
Kasut biasa (lembut) - 1 pasang
Selimut (tidak terlalu tebal) - 1 helai
Baju sejuk - 1 helai

LAIN-LAIN KEPERLUAN (LELAKI DAN PEREMPUAN)
*************************************************
1 Buku Rekod Rawatan
1 Buku Doa Kecil (nak bawak buku doa yang lain pun boleh)
1 Set penyangkut baju
1 Beg Pakaian Besar (Berkunci)
1 Gunting Kecil/Pencukur
1 Sejadah Nipis
1 Gelang Tangan Haji
1 Beg Bimbit Sederhana Besar
1 Pengetip Kuku
1 Uncang Selipar
1 Uncang Anak Batu
1 Berus Gigi
1 Ubat Gigi
1 Sabun Mandi
1 Krim pelembab tumit(untuk elak tumit pecah i.e Elgy)
1 Krim pelembab Kulit
1 Krim pelembab Bibir (i.e Vaseline pun boleh)
1 Sleeping Bag untuk kegunaan di Arafah & Mina (kami dapat free, hasil sumbangan TM)
1 Mask hidung/mulut
Vitamin- multivitamin, vitamin c, kalsium, Virgin Coconut Oil untuk kulit
Pad untuk wanita (di tanah suci susah nak jumpa dan harganya agak mahal)
1 Beg Sandang
1 Spray Wudhu


(Untuk barangan haji dan umrah secara online mungkin anda boleh dapatkan di sini http://www.produkhajidanumrah.blogspot.com/ atau pun facebook Produk Haji dan Umrah https://www.facebook.com/pages/Produk-Haji-dan-Umrah/140014606149439.

Ada orang bertanya, macam mana dengan telefon bimbit? Bolehkah di bawa?

Jawapannya, boleh.  Telefon bimbit sangat baik untuk di bawa ke tanah suci untuk kita telefon keluarga/rakan  sesama sendiri terutamanya jika duduk berasingan antara suami/isteri seperti kami yang pergi melalui muassasah ini. Bukan sahaja di hotel, tetapi jika berpisah di masjid pun, telefon bimbit sangat berguna! Telefon bimbit juga boleh digunakan untuk menghubungi sanak saudara di Malaysia. Nak lagi jimat? Ha..sila beli kad prabayar (sim kad) di sana, yang amat mudah di perolehi dengan harga pendaftaran serendah  SR 30.00 - SR 100.00. Manakala untuk tambah nilai (top up pula), nilai yang boleh di beli ialah dari SR 10.00 - SR 100.00 mengikut kegunaan masing-masing.

Dan lagi, nak kongsi...sebelum pergi, jangan lupa

Persediaan semasa di Malaysia
*************************
- Sediakan Wasiat
- Skrip Doa Arafah
- Target Haji / Umrah a.k.a Key Performance Indicator (KPI) Ibadah Haji / Umrah - sangat penting agar tidak leka sebelum/semasa/selepas Haji)
- Study Solat Dalam Pesawat / Musafir
- Print Map Mekah / Madinah dan floor plan Masjidil Haram / Masjid Nabawi
- kunci rumah brief to waris
- urusan rumah brief to waris
- beli marker pen permanent - untuk tulis nama pada beg
- tampal nama, no IC, no KT, no phone, alamat Malaysia dan gambar dan ikat kain pengenalan (kain pengenalan pada beg sangat penting kerana kesemua beg biasanya akan kelihatan sama, jadi takut-takut susah kita nak cam beg sendiri)
-Sediakan 'to-do-list' contohnya Umrah Badal untuk orang tersayang

Dan buat kenduri doa selamat atau bersedekah moga-moga Allah melindungi dan memudahkan perjalanan kita agar dapat pergi dan pulang dengan selamat, Insya Allah.


Wednesday, March 21, 2012

Day 27 (19 November 2011, Part 2) - Aerial view of Mecca

Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.


Surah Al'A'raaf Ayat 30


Gambar yang indah ini di ambil daripada google, ianya Mekah, mungkin beberapa tahun dahulu.

Monday, March 19, 2012

Day 27 (19 November 2011, Part 1) - Rahsia shopping di Tanah Suci

Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?

Surah Al Lail, Ayat 11


Shopping. Salah satu aktiviti yang paling di gemari oleh jemaah haji Malaysia. Dugaan bershopping di sini memang agak besar. Bayangkan. Di sepanjang perjalanan antara Masjidil Haram dan hotel-hotel terdapat pelbagai dereten kedai menjual pelbagai jenis barangan. Ini tidak termasuk kewujudan kompleks membeli-belah yang moden yang amat hampir dengan Masjidil Haram!

Jemaah akan digamit (baik oleh hati sendiri atau penjual yang begitu mesra menyapa) dan terpanggil untuk singgah di kedai untuk shopping setiap kali balik atau ke pergi ke masjid. Memang pekedai dan penjual di sini begitu ‘meminati’ jemaah Malaysia kerana kemurahan hati jemaah Malaysia untuk membeli-belah di sana. Sehinggakan ramai yang boleh bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu untuk memudahkan mereka berniaga dengan jemaah Malaysia dan Indonesia!



Dereten kedai


Makcik-makcik dan kakak-kakak di bilik saya sering menegur saya.

"Kamu ni tegar betul.Tak de shopping ke?"

Saya hanya tersenyum simpul sebagai jawapan. Mereka sudah tahu jawapannya.

"Mak cik ni berbondong-bondong dah beli. Dah berkotak-kotak kami hantar balik rumah. Tapi mak cik tengok kamu ni satu pun takde. Tak teringinke?"

Kemudahan pos barang-barang ke Malaysia disediakan betul-betul di lobi hotel kami. Untuk mengelakkan 'kesesakan' di bilik, kebanyakan barang-barang yang di beli awal, sekiranya terlalu banyak, akan segera di pos di Malaysia.

"Malu pulak acik ngan kamu. Kamu maintain je tak tergoda dengan barang-barang yang di jual. Tak macam makcik ni, setiap kali mesti nak tawaf kidai"
Ya, betapa kuatnya orang Malaysia bershopping sehinggakan tercipta satu nama: Tawaf Kidai yang merujuk merujuk kepada aktiviti bershopping di sekitar Makkah.

Saya dan suami tidak bershopping hingga hampir 30 hari kami di sini. Kami hanya membeli barang-barang keperluan harian. Juga barang-barang yang perlu untuk haji. Tak ketinggalan makanan atau minuman kerana kami memang suka merasai pelbagai makanan di sini.
Dan juga kami keluar juga bershopping sebentar apabila saya risau pakaian saya tidak mencukupi untuk ke Mina. Kerana kami sudah di beri amaran untuk tidak membasuh pakaian di Mina. Dengan itu saya membeli jubah yang berkenaan di hati agar tidak kehabisan pakaian di Mina.

Selama kami ke kedai-kedai atau shopping kompleks, tujuan paling utama ialah untuk survey barang-barang yang perlu di bawa pulang sebagai cenderahati untuk saudara mara.

Daripada survey kami itulah kami beruntung kerana kami dapati barang-barang yang dijual di sini agak mahal semasa kemuncak musim haji dan harganya jatuh mendadak apabila jemaah sudah mulai berkurangan.

Dan hari inilah pertama kali kami benar-benar  'bershopping', setelah selesai umrah kami sebentar tadi. Ia adalah mengikut senarai nama yang telah saya sediakan awal-awal sebelumnya. Saya senaraikan semua nama mereka yang perlu di beri buah tangan, dan jenis buah tangan yang perlu di beri. Suami meminta saya menyediakannya agar niat kami tidak terpesong. Dengan senarai itu tidaklah kami terover budget dan membeli barang yang tidak sepatutnya.

Apa rahsia saya tahan tidak bershopping?

1)Saya dah nekad dari Malaysia lagi. Saya perlu menumpukan sepenuh hati kepada ibadat ini. Shopping hanya mengalih tumpuan saya. Jangan sampai shopping jadi no 1 !!

2)Kadang-kadang barang-barang yang dibeli tu kita tak pakai pun apabila pulang ke Malaysia. Contohnya jubah untuk kanak-kanak. Jubah yang di bawa pulang tu, adakah si kecil memakainya setiap hari? Atau pun sekali sahaja, hanya sekali itu sahaja? Belilah sekiranya kita benar-benar mahu memilikinya dan pasti akan menggunakannya.

3)Kualiti barangan. Saya hanya akan pastikan barangan yang saya beli benar-benar berkualiti. Lebih-lebih di tempat orang. Kita tidak tahu akan kualiti barangan yang di beli. Selidiklah betul-betul dahulu sebelum membeli.

4) Saya sendiri yang berdoa kepada Allah agar tahan nafsu saya untuk bershopping semasa melakukan ibadat ini.


5) Seperti yang telah dinyatakan diatas, awal-awal lagi kami telah senaraikan barang-barang yang kami mahu beli terutamanya buah tangan yang akan di bawa pulang untuk keluarga, saudara-mara dan sahabat handai. Kami senaraikan nama dan barang-barang yang di jangka akan di beli agar tidak tersasar dari niat.

Dan bagi suami pula, dia tiada rahsia. Beliau memang tidak suka shopping.

Thursday, March 15, 2012

Day 26 (18 November 2011,Part 3) - Haji Badal

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu."

Surah Al An'aam Ayat 11

image sources:google

Dah terlanjur bercerita mengenai Umrah Badal, saya ingin berkongsi mengenai Haji Badal.


Syarat haji badal bagi orang yang ingin menunaikan haji bagi pihak orang lain:


1)Telah menunaikan haji bagi pihak dirinya sendiri dengan sempurna


2)Hanya menunaikan haji untuk dirinya seorang sahaja satu musim (tak mcm umrah)


3)Ia hendaklah berihram samada:


a)di miqat orang yang hendak dihajikan


b) di miqat yang sama jauh dengan miqat orang yang hendak di hajikan


c)di miqat yang telah di tentukan kepadanya. Namun jika tidak di tentukan, bolehlah ia berihram di mana-mana miqat.


4)Orang yang hendak menunaikan haji badal mestilah seorang yang baligh


Ustazah kata, pahala bagi orang yang menunaikan haji badal ialah 1:9. 1 ialah untuk arwah, 9 ialah untuk dirinya sendiri. Bila kita renungkan balik, sebab itulah upah haji badal ialah 1 daripada jumlah keseluruhan bayaran haji.


Seorang mackcik di bilik saya, nama gelarannya ialah Makcik K.E.(sebutan macam nama glamour Raja Azura).Dia dan suaminya pernah menunaikan haji pada tahun 2005, tak silap saya. Dan rezeki beliau dan suami, kali ni di panggil lagi untuk menunaikan haji. Kedua-dua mereka menunaikan haji badal untuk kedua orang tua mereka.


Makcik K.E dan suami sudah menjangkau umur 50 -an. Tetapi mereka masih lagi kuat. Mereka adalah antara mereka yang berusia tetapi masih semangat mengerjakan kerja-kerja umrah. Mereka sering tidak terlepas waktu solat di masjidil haram.


Selain dari itu, mak cik KE seorang yang suka berjenaka. Dia adalah penglipur lara di bilik kami.


Kepala katil Mak cik K.E betul-betul terletak di kepala katil saya. Semasa dia di jangkiti batuk yang agak teruk, dia sering batuk di malam hari, betul-betul di telinga saya. Dia sering berkata kepada saya,"Kesian kat kamu. Batuk makcik ni kamu anggapla sebagai bunyi muzik."


Dia antara orang yang sering berkata kepada saya.


"Makcik suka tengok cara kamu berdua buat haji. Itulah beza orang muda dengan orang tua buat keje haji. Mak cik ni dah tua-tua dah tak larat dah. " keluhnya.


"Beza rasa badan makcik pergi dahulu dengan pergi sekarang ni. Sekarang lutut dah sakit-sakit dah. Pakcik kau pun dah tak sekuat dulu. Nasihatkanlah orang muda pegi haji muda-muda" tambahnya lagi.


Oppss cerita ini tiada kaitan dengan niat untuk meninggi diri kerana pergi haji waktu muda. Ia adalah dengan niat untuk menyeru mereka di luar sana agar terbit kesedaran untuk menunaikan haji dengan segera sekiranya MAMPU.


Bangsa-bangsa lain dari negara-negara lain sangat ramai yang menunaikan haji pada usia yang muda. Aduhai kalau dibandingkan dengan kita rakyat Malaysia..alahai..


Sekarang pun dah boleh gunakan duit EPF RM 1,300 untuk daftar haji.

 

Renungkanlah. Sekiranya ada duit dan dah cukup syarat, tunaikanlah haji secepat yang mungkin. Dengan erti kata lain...daftarlah segera..

Wednesday, March 14, 2012

Day 26 (18 November 2011, Part 2) Umrah Badal

Sabda Rasulullah S.A.W

"Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur kecuali syurga"


Riwayat Al Bukhari dan Muslim



Masjidil Haram

Kita selalu mendengar mengenai Haji Badal. Tetapi jarang-jarang mendengar mengenai Umrah Badal, betul tak?


Ya, contoh Umrah Badal ialah seperti senarai nama arwah-arwah kaum keluarga kami yang telah di titipkan oleh ibu saya sebelum saya ke sini.


Tempoh hari saya dan suami berdiskusi mengenai Umrah Badal yang saya kerjakan. Berapa pahala yang saya dapat? Berapa pahala yang arwah dapat?


Bukannya saya melakukannya dengan tidak rela hati dan bertimbang tara pula mengenai pahala yang saya dapat. Sebelum ini saya tidak pernah kisah akan pahala yang di dapati daripada umrah badal. Saya berdoa sangat-sangat tuhan sentiasa ikhlaskan hati saya tatkala melaksanakannya. Janganlah tuhan pesongkan hati saya.



Ia hanya timbul adalah selepas berbual-bual dengan seorang makcik sebilik kami, Makcik K.E yang sedang melaksanakan Haji Badal untuk arwah orang tuanya. Ini adalah kali kedua Makcik K.E menunaikan haji. Kali pertama adalah pada tahun 2005, juga melalui muassasah. Beliau pun tidak pasti akan pahala mereka yang menunaikan haji Badal. Beruntung sangat beliau dapat menunaikan haji melalui muassasah kedua-duanya.


Kami membuat keputusan bertanya ustazah setelah tidak mendapat kata putus. Jangan pula kami menjadi ustaz/ustazah tak bertauliah.


"Pahala untuk mereka yang mengerjakan haji/umrah badal ialah dalam nisbah 1:9 . Arwah akan dapat 1 pahala maka yang tolong melaksanakannya akan mendapat 9 pahala." kata ustazah.


"Untuk ayah/ibu apa sahaja kebaikan yang di laksanakan oleh anaknya, arwah akan mendapat pahalanya walaupun tidak di niatkan untuk arwah. Dan begitu juga, apa sahaja dosa yang di lakukan, arwah akan dapat" itu jawapan ustazah apabila saya bertanya mengenai umrah yang dikerjakan untuk arwah ayah.


Alhamdulillah..saya terbayang-bayang wajah arwah ayah. Bersyukur arwah dapat menikmati pahala daripada amalan saya di sini, InsyaAllah. Saya tak sempat benar-benar membalas jasa arwah. Hanya ini sahaja yang saya mampu berikan.


Tuesday, March 13, 2012

Day 26 (18 November 2011, Part 1) Supermarket BinDawood - Cokelat dan Jus Arab

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya

Surah Yusuf Ayat 3


Hari ini, selepas selesai umrah kami yang ke enam, kami pergi ke Supermarket BinDawood lagi.


Ada 2 cawangan BinDawood berhampiran Masjidil Haram ini. Kedua-duanya terletak di deretan kawasan komersil Abraj Al Bait dan Alsafwa Tower. Ia adalah supermarket ala-ala Giant, Carrefour dan Tesco di Malaysia. BinDawood ni cawangannya ada di merata tempat di Mekah. Semasa berjalan dari Jamrah ke Mekah ada ternampak satu cawangan berhampiran Mina. Diberitakan ada sebuah cawangan yang besar di Aziziyah. Pekerja BinDawood mencadangkan kami pergi kesana untuk membeli-belah. Lebih murah katanya. Ada juga kami berjumpa cawangan BinDawood ini di Madinah dan Jeddah.

Harga kat sini berpatutan. Tak mahal sangat. Beli kat sini boleh di percayai sebab harganya tetap maintain berbanding deretan kedai mini di luar sana harganya berubah-ubah mengikut kadar ramai orang dan permintaan yang tinggi. Kalau ramai orang, terutamanya semasa kemuncak musim haji, mahallah segala barang. Bila orang mulai berkurang, harga pun ikut berkurangan.




BinDawood..logo yang cantik dan gah. Masa mula-mula nampak signboard, saya teringatkan Usama BinLaden :-)







Mulanya kami nak survey cokelat. Tetiba nampak ni...

Macam nama bapa mertua saya!! TAIB!!







Dan..pelbagai pilihan cokelat. Yang pastinya kami survey cokelat arab. Kalau nak cokelat Malaysia better beli kat Malaysia je...


Menggamit selera..
                  



 







Kegemaran saya! Halwa.. kalau kat Malaysia ni harganya mahal dua kali ganda. Kat sini perisa cokelat pun ada..



Tema..jenama ni sedap ni





Pelbagai manisan jua di jual...


Pilihla yang mana nak..


Yummy!! Juices



Row yang tengah-tengah tu adalah jus dalam botol. Rasanya sama enak dan pekat dengan jus jus yang di jual di tepi jalan, tetapi harga jus ni lagi murah. Kami agak rugi sebab baru jumpa jus ni sesudah beberapa lama di Makkah. Kalau tak... beli jus ni je..menjimatkan.






Air kotak dibawah enak juga, tetapi tak sepekat dan seenak jus botol di atas.




Haha!!Sama macam Nespray tapi kat sini namanya di tukar kepada NIDO.



Kalau nak shopping barang makanan dari tempat yang harganya tetap sahaja tak kira masa..inilah tempatnya. Macam kami yang nak beli cokelat ni..cokelat Arab memang agak sukar di dapati di tempat lain kecuali di sini.



Friday, March 9, 2012

Day 25 ( 17 November 2011, Part 2) -Rumah Saidatina Khadijah r.a dan Rasulullah s.a.w, di saat sebelum ia di musnahkan (fakta dan gambar)

Allah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur".

(Surah Al A'raf, Ayat 144)


Ingat tak dulu entri saya mengenai kedudukan rumah Saidatina Khadijah r.a bersama Rasulullah s.a.w yang berhampiran Masjidil Haram? Kalau tak ingat boleh klik  di sini http://ijaie.blogspot.com/2011/10/day-2-25-oktober-2011-part-3-rumah.html 

Kalau nak tahu lebih lanjut dan menghayati mengenai kisah cinta agung Rasulullah bersama Saidatina Khadijah, sila klik di sini 

Bercerita mengenai rumah Saidatina Khadijah r.a dan Rasulullah s.aw, sebelum rumah sebenar di musnahkan, kontroversi melanda dan ramai pihak yang menentang rumah asal ini di musnahkan. Ia digambarkan sebagai pertembungan antara puak yang menentang Wahabi dengan pihak Wahabi. 

Allahuakabar, seriously, sangat sedih umat Islam menjadi begini! Pertembungan di sana sini.

Aduh..kalau baginda berada bersama kita...apa agaknya hendak kita sampaikan kepada baginda mengenai keadaan umat sekarang?

Berbalik kepada rumah Rasulullah s.a.w bersama Saidatina Khadijah yang telah di musnahkan, kalau tanya saya, mestilah saya juga tak setuju ianya di musnahkan! Sayu, sedih, rasa rugi!! Sedangkan tempat jatuh lagi di kenang..inikan pula tempat tinggal Rasulullah s.a.w selama 28 tahun hidupnya. Bayangkan perasaan kita apabila melihat rumah Rasulullah s.a.w di depan mata. Rumah yang sangat sederhana. Cuba fikirkan kesannya kepada kita. Pasti kita akan bayangkan kehidupan Rasulullah s.aw lebih dari 1,400 tahun dahulu. Dan kita akan bandingkan rumah kita dengan rumah Rasulullah s.a.w. Dan kesannya ini bukan setakat kepada kita, tetapi kepada jutaan manusia yang lain. Allah..alangkah besarnya kesan itu dan pasti kita akan lebih bersyukur atas nikmat yang telah tuhan beri kepada kita. Dan kita akan bayangkan kehidupan Rasulullah s.a.w yang mulia dan kehidupan kita insan biasa, tetapi sangat bertuah menjadi umatnya. Bukankah Nabi Musa juga berdoa kepada Allah agar baginda menjadi umat Muhammad s.a.w?

Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Engkau telah anugerahkan segala kebaikan untuk Ahmad (Muhammad) dan umatnya, maka jadikanlah aku dari umatnya! Berfirman Allah Taala, sebagaimana yang tersebut di dalam al-Quran:“Wahai Musa! Sesungguhnya Aku telah memilih engkau dari antara manusia untuk menyampaikan perutusanKu dan percakapanKu, maka terimalah apa yang Aku berikan kepadamu, dan hendaklah engkau menjadi orang-orang yang bersyukur.” (al-A’raf: 144)

Syukurlah syukurlah..dan cintailah dengan berselawatlah kepada Baginda kerana kita menjadi umatnya dan berdoalah agar kita menjadi salah seorang yang bertuah menikmati air telaga kautharnya. 




Rumah Saidatina Khadijah r.a dan Rasulullah yang telah di huni oleh Rasullullah s.a.w selama 28 tahun hidupnya

Di atas ini gambar sisa runtuhan rumah Rasulullah Saw & Saidatina Khadijah r.a yang dilihat lebih dekat

 Gambar di atas ini adalah runtuhan pintu masuk ke kamar Rasullullah s.a.w dan Saidatina Khadijah r.a


Gambar di atas adalah sisa runtuhan kamar Nabi Muhammad s.a.w bersama Khadijah r.a


Di atas  ini(bulatan) adalah gambar runtuhan tempat Saidatina Fatimah r.a, puteri kesayangan Rasulullah Saw dilahirkan


 Di atas ini adalah gambar runtuhan mihrab tempat Rasulullah saw bersolat




Wallahualam, segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t



Wednesday, March 7, 2012

Day 25 ( 17 November 2011, Part 1) - Pemandangan indah dari tempat saie di bumbung Masjidil Haram

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Surah AL Mumtahanah Ayat 5





Pemandangan dari atas


Kemanisan beribadah di sini, sampaikan tak terasa masa berlalu. Hari ini sudah hari Khamis. Rasa macam Khamis lepas baru sahaja berlalu. Perasaan di sini tak sama dengan perasaan berada di tempat lain. Sangat tenang..sangat rindu dengan ibadah..sangat sayang dengan masjid..tanpa kenal erti jemu.

Hari ini kami berdua bercadang mahu ke Tanaim lebih awal iaitu pada pukul 2.30 pagi berbanding pukul 3.00 pagi seperti waktu semalam. Kami ingin mengelakkan tawaf di kala jemaah sudah mula mendirikan saf untuk sembahyang subuh iaitu lebih kurang pukul 4.30 pagi. Jika ini berlaku, ruang untuk tawaf semakin kecil kerana ruang bersembahyang menjadi besar dan semakin menghampiri Kaabah. Sekiranya ruang bertawaf kecil, maka orang yang sedang bertawaf semakin berhimpit-himpit dan menjadi sukar untuk keluar dari barisan tawaf. Ini memberikan masalah terutamanya jemaah wanita kerana mereka tidak dibenarkan (malahan haram!) untuk solat berjemaah bersama jemaah lelaki di dataran tawaf.

Seperti biasa, kami pergi bersama Kak Ida dan Abg Bujang. Kali ini Kak Umi dan Abg Jalil tidak dapat menyertai, masih letih kerana umrah semalam. Di ganti pula dengan Kak Su dan Abg Mohamad, sepasang lagi rakan bilik kami.

Untuk saya dan suami, ini adalah umrah kelima kami. Masih lagi dalam pelan untuk cuba menyelesaikan sejumlah umrah yang dirancang dan menyedekahkan pahalanya kepada arwah mengikut senarai yang telah di beri oleh ibu saya.

Akhirnya kami selamat pergi dan kembali dari Tanaim, dan Alhamdulillah, Tawaf berjaya juga di selesaikan sebelum waktu Subuh, walaupun jemaah agak penuh bertawaf.

Selepas Subuh, kami bersaie di tingkat atas sekali (roof top) beratapkan suria pagi. Di Masjidil Haram, kerajaan Arab Saudi telah upgrade tempat saie menjadi empat tingkat.

Tingkat yang pertama ialah saie di tingkat bawah (ground floor). Tempat asal Siti Hajar berulang alik dari bukit Marwah ke Safa. Kami selalu ber saie di sini kerana saie di sini betul-betul feel. Masih ada sedikit kecerunan ketika menghampiri Bukit Safa dan Bukit Marwah. Juga masih kelihatan batu-batu asal di Bukit Safa dan Bukit Marwah.Malahan di Bukit Marwah kita masih boleh memijak batu-batu ini tetapi di Bukit Safa batu-batu itu dipagar menggunakan pagar kaca. Bersaie di tingkat ini mengundang keinsafan. Rasanya tak sama seperti saie di tingkat lain.

Saie di tingkat bawah


Tempat-tempat saie bertingkat-tingkat di pandang dari bawah

 
Kedua ialah saie di basement. Sini agak selesa kerana semuanya ditutup dan dilengkapi dengan pendingin hawa. Orang pun tidak ramai.


Ketiga ialah saie di tingkat 2.

Dan keempat ialah saie di tingkat atas sekali, roof top, tempat kami bersaie hari ini.

Saie di atas sekali memang mengundang ketenangan. Kita boleh menikmati pemandangan indah Kota Makkah diwaktu pagi. Relaks je saie kat sini. Ketika ini, sangat sedikit orang di sini, yang kebanyakkannya beribadah sambil menikmati pemandangan selepas Subuh. Ada juga yang tidur. Tiada pula orang bersaie kecuali kami dan sepasang suami isteri keturunan Arab. Oleh kerana di sini tiada bumbung, maka jemaah haji suka duduk di sini pada waktu pagi atau malam. Siang sangat panas kerana tiada atap untuk melindungi dari cahaya matahari.

Sejuk sangat lantai di sini pada waktu pagi. Tetapi jemaah kena hati-hati jangan terpijak tahi burung merpati. Takut terkena pakaian untuk bersolat.

Sedang bersaie ada jemaah dari Indonesia yang menegur kami dengan penuh mushkil. Mungkin dia tak tahu di sini boleh bersaie. Ada lampu hijau lagi untuk menandakan tempat bermula dan berakhir jemaah lelaki berlari-lari anak.

Pemandangan yang diambil dari tingkat atas selesai Saie...


kat bawah tu mereka yang sedang bertawaf di dataran tawaf dan di tingkat satu.. 



Matahari mulai naik..











Pemandangan di tingkat atas sekali..ramai yang lepak-lepak. Kubah itu merupakan lokasi bukit Safa 






Menara Jam nampak sangat dekat sekali di sini 



wahh..boleh nampak Bukit Safa ke bawah sekali..tempat saie..nampak batu kat bawah 







Air zam-zam pun available kat atas ni 




Ramai je yang ambil wudhu di sini










Pulang dari mengerjakan umrah kami pergi ke restoran bakso lagi sekali. Kali ni makan bakso sorang satu setelah tak puas berebut bakso dengan suami semalam.


Di restoran bakso terserempak dengan Kak Su dan suami yang juga baru selesai umrah, juga menikmati bakso setelah di rekemen oleh saya semalam. Mereka juga memuji bakso di situ..


Pulang ke bilik, ke semua makcik-makcik di bilik kami sedang tidur. Mereka juga selesai mengerjakan umrah tetapi malam tadi. Mereka pergi lebih kurang pukul 10 malam dan selesai pada pukul 2.00 pagi. Keletihan lagi mereka nampaknya.


Kesian, semangat mereka kuat tapi tenaga dan daya mereka agak kurang. Letih sangat mereka nampaknya..