Commercial Break

Saturday, January 21, 2012

Day 6: (29 October 2011) Part 3-Tandas di Masjidil Haram

"Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan."


(Surah Al-Hajj, ayat 2)




Hampir seminggu berada di sini, kami mula membiasakan diri. Kami mulai ingat setiap jalan yang perlu di lalui. Kami boleh hafal langkah-langkah kami. Kami mulai membiasakan diri dengan cuaca di Haram.
Namun begitu, saya masih rasa agak sedih. Masih rasa sayu. Susu tetap tidak mahu surut. Kadang-kadang hampir membengkak. Rasa sangat tidak selesa. Bayangkan kami di masjidil haram bukannya sekejap. Pada minggu-minggu pertama, paling lama kami duduk di masjid ialah mulai sebelum Asar sehingga selepas Isya'. Lebih kurang hampir 6 jam.
Mulailah pelbagai bisikan bermain di hati.


"Ruginya..alangkah bagusnya kalau Rania dapat minum..."


"Kenapa susu tidak mahu surut..Ya Allah tolong jangan di susahkan.."


Cepat-cepat saya padamkan. Saya sedar. Dugaan orang lain pasti lebih besar.


Dan pada hari-hari pertama kami di sini saya tidak berani ke toilet seorang diri. Toilet adalah cabaran buat saya.


Semenjak di Malaysia lagi ibu sering mengingatkan saya.


"Jangan pergi toilet sorang-sorang. Toilet kat Masjidil Haram bawah tanah. Sangat dalam. Gelap." pesan ibu.


"Pernah terjadi ada lelaki pakai purdah rape perempuan kat toilet." tambahnya lagi.


Mana tak ngeri hati saya. Rape?!! Oh tidak.


Setiap kali mahu ke toilet saya pasti akan mengajak suami bersama kerana selalu diingatkan.


Dan yang pasti, di toilet saya tidak dapat memerah lama. Manakan tidak. Beratur jemaah menunggu di luar. Lebih 5 minit sahaja dalam toilet, pasti hampir roboh di ketuknya pintu toilet. Mereka tak macam kita. Mereka tidak sabar. Semasa di sini baru saya sedar dan hargai yang orang Malaysia sangat penyabar.


Jadi kadang-kadang satu hari dua kali sahaja saya dapat memerah keluar sedikit susu, iaitu semasa di hotel. Lagipun jenuhlah suami saya jika asyik nak teman saya ke toilet saje. Tak sampai hati tengok muka toyanya itu..hihi


Kekadang bila membengkak, saya rasa tak tahan. Hinggakan sampaikan ke satu tahap semalam, selepas minum air zam zam saya berdoa agar susu saya di kurangkan.


Dan ajaibnya hari ini susu mulai surut. Bila mulai surut sayu pula hati rasanya. Teringat Rania yang akan mengejar saya sebaik sahaja sampai di rumah selepas pulang dari kerja, minta untuk disusui. Terbayang pada waktu malam rengekan Rania yang lapar minta di susui. Ia meletihkan tetapi di anugerahi dengan rasa puas. Ia adalah pengalaman yang tidak saya lupakan seumur hidup ini.


Bercerita mengenai toilet...


Pengalaman di atas adalah pengalaman semasa hari-hari awal di masjidil haram. Hari-hari di mana saya takut untuk ke toilet seorang diri. Hari-hari yang saya masih ragu-ragu untuk berjalan seorang diri di Masjidil Haram.


Alhamdulillah. Hari-hari seterusnya pengalaman saya di toilet Masjidil Haram menjadi mudah. Berdekatan dengan pintu Babul Fatah dan pintu Marwah, ada di dirikan toilet sementara untuk keperluan jemaah dan pekerja-pekerja yang terlibat dengan pembesaran Masjidil Haram. Deretan toilet ini tidak seperti kebiasaan toilet di masjidil haram, yang seperti di ceritakan kepada saya. Yang jauh ke bawah, yang gelap. Toilet yang ini terletak di luar pintu Babul Fatah dan Marwah. Toilet ini sering di kunjungi oleh ramai jemaah. Di luarnya penuh dengan jemaah yang lalu lalang. Sekiranya masuk ke toilet ini, ianya tidak pernah sunyi. Kami panggil toilet ini toilet berbumbung hijau, kerana bumbungnya yang berwarna hijau. Ia bukannya jauh ke dalam, ia tidak gelap. Ianya terletak di tepi laluan. Saya sering ke toilet bumbung hijau ini seorang diri. Tidak bahaya. Dan ianya selamat.


Semasa hari-hari pertama ke toilet ini, saya kurang arif. Saya akan masuk ke sebelah kiri. Sebelah kiri toilet, bilik-bilik toiletnya tidak banyak. Ada beberapa tandas sahaja. Kemudian barulah saya dapati di sebelah kanan, toiletnya lebih panjang dan banyak deretan-deretan tandas. Toilet di sebelah kananlah yang sering saya gunakan.


Suami berkata toilet ini adalah toilet sementara. Saya harap ianya tidak begitu. Toilet seperti inilah yang diperlukan oleh jemaah wanita.Ada satu peristiwa. Ianya berlaku pada kali kedua saya menggunakan toilet ini. Lebih kurang hari kedua berada di sini. Saya sedang beratur, hanya ada seorang yang sedang beratur di hadapan saya. Tiba-tiba datang seorang jemaah haji dari India, tersenyum-senyum kepada saya dan berkata sesuatu kepada saya. Saya tidak fahami kata-katanya. Tetapi resam orang Melayu, kita akan membalas senyuman orang lan. Saya membalas senyumannya. Tiba-tiba dia terus berdiri di hadapan saya. Memotong barisan. Dan muncul beberapa kawannya yang lain. Juga terus beratur di hadapan saya. Memotong barisan. Berdegup jantung saya. Saya menyumpah-nyumpah di dalam hati. Teringat di tanah haram, mulut kena di jaga, hati kena sabar. Saya teringatkan Allah. Saya terus memujuk diri agar bersabar. Harap Allah menolong saya kerana saya bersabar. Saya tak menunggu di situ. Saya meninggalkan barisan di toilet di situ, terus beratur di barisan lain, selang sebuah dari toilet yang itu.


Allah itu Maha Kaya. Sepatutnya ada seorang sedang beratur di tandas tersebut.Entah kenapa, dia tidak jadi masuk dan meninggalkan barisan. Saya terus jadi orang yang paling depan di barisan tersebut, dan tak sampai sesaat, orang di dalam tandas tersebut keluar dan saya terus dapat masuk ke dalam toilet. Alhamdulillah. Apabila saya keluar dari toilet saya lihat jemaah India yang tadinya memotong barisan ke hadapan saya, masih lagi beratur. Tak dapat-dapat masuk lagi.


Ia memberi saya pelajaran lain selain daripada Allah bersama orang-orang yang sabar. Iaitu bangsa-bangsa Muslim yang lain ini tidak macam kita. Cara mereka sangat berlainan. Saya terbayang-bayang, mereka ini adalah golongan yang pergi haji.Golongan yang terpanggil mahu melengkapkan rukun Islam. Bagaimana dengan yang lain-lain, yang tidak pergi haji.Bagaimana keadaannya negara mereka? Merenung-renung. Mungkin kerana itu negara mereka kacau bilau. Sering bergaduh. Tidak pernah aman. Wallahualam.


Sejak hari itu, saya belajar kemahiran baru semasa di tandas. Sekiranya sedang beratur dan menghampiri pintu tandas, saya sudah tidak senyum lagi. Saya akan sinsing lengan baju, sinsing kain, dan pegang pintu tandas sambil mencekak pinggang. Menunjukkan muka yang sungguh-sungguh ingin masuk ke tandas. Tidak perlu perkataan tetapi wajah saya menunjukkan jangan cuba untuk memotong saya, cubalah kalau berani untuk potong... tetapi lidah saya tidak menuturkan satu apa pun. Percayalah ia berhasil. Saya rasa ianya lebih baik daripada di potong. Jika saya di potong, saya akan menyumpah-nyumpah di dalam hati. Lebih besar dosa saya rasanya. Bila buat macam ni, saya tidak perlu menyumpah sesiapa, malah dapat menjamin kedudukan saya semasa beratur. Mungkin bagi kita ianya dianggap tidak sopan dan tidak ramah, tetapi ia menjadi untuk mereka. Ianya berhasil kepada mereka. Mungkin cara itu ala-ala KL gangsta, tapi mereka seakan-akan hormat kita. Dan tidak berani memijak kepala kita. Walau bagaimana kecilnya tubuh anda, atau betapa lembutnya wajah anda saya yakin cara ini sangat berhasil.


Asalkan kita tidak berbuat dosa. Dan saya yakin saya tidak berdosa kerana saya cuba mengelakkan daripada konflik dengan orang lain. Nampak kecil tetapi besar kesannya.


Harap-harap saya tidak berdosa.

No comments:

Post a Comment