Commercial Break

Friday, February 3, 2012

Day 13 - (5 November 2011 ) Part 1-Wukuf di Arafah

“Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu”


Al-Quran Surat Al Maidah Ayat 3


Bermulanya Arafah dari sini


Kawasan khemah-khemah jemaah haji Malaysia

















Hari Wukuf. Hari kemuncak yang di nanti-nantikan telah tiba akhirnya.


Pesanan ustazah. Jangan berborak-borak dan membuang masa semasa hari wukuf.


"Kebanyakan jemaah haji Malaysia suka berborak semasa di Arafah", katanya. "Beribadat dan berdoa, berdoa dan berdoa memohon kepada Allah. Rebut kesempatan dan peluang ini sepenuhnya untuk memohon kepadaNya "


Seorang Jemaah Haji bertanya kepada ustazah, " Antara baca Quran dan berdoa, yang manakah lebih utama semasa wukuf?"

"Berdoa," jawab ustazah.


"Berdoa kerana Rasulullah s.a.w menggunakan sepenuh masa untuk berdoa semasa Hari Wukuf. Wukuf di Arafah adalah waktu antara yang paling mustajab berdoa, iaitu selepas gelincir matahari sehingga terbenam matahari." tambahnya lagi.


Pagi wukuf. Selepas sarapan.


Pagi-pagi lagi saya dah sibuk-sibuk kelam kelibut mencari-cari tempat yang lapang di bawah pokok. Akhirnya berjaya mencari tempat lapang yang amat sesuai dan tenang untuk berdoa dan bermunajat kepadaNya, terus book tempat tersebut menggunakan tikar serbaguna hasil sumbangan TM. Lokasi yang dipilih ini amat sesuai dengan keredupan pokok-pokok dan agak lapang.

Saya tidak mahu berdoa di dalam khemah. Saya takut hati saya tidak khusyuk.

Tak sampai selang beberapa minit sahaja, kawasan ini telah di penuhi oleh Jemaah Haji  lain. Walaupun kawasan ini adalah kawasan Jemaah Haji Malaysia, ada juga beberapa Pak Arab juga tumpang sekaki. Mereka ini memang tiada tempat yang tetap di sini.



 
Gambar di ambil dari dalam kawasan perkemahan Jemaah Haji Malaysia. Kita beruntung kerana bas di sediakan dari Mekah ke Arafah. Ramai jemaah haji dari negara lain terpaksa berjalan kaki berkilometer jauhnya untuk sampai ke Arafah.




Mereka ini masih berjalan..dan berjalan



Arafah. Di sekitar kawasan perkhemahan Jemaah Haji Malaysia...

Hati sayu memerhati sekeliling.

Riwayat mengatakan di sinilah tempat pertemuan pertama Adam dan Hawa, di Jabal Rahmah setelah 200 tahun diturunkan dari syurga. Peristiwa yang mengharukan ini berlaku di sini, dan di tempat inilah juga yang menjadi tempat pertemuan seluruh manusia saban tahun. Di tempat ini manusia datang semata-mata kerana Allah, berkusut masai dan meninggalkan segala-galanya harta, benda, anak dan sebagainya. Ia seumpama gambaran apabila kita meninggalkan dunia fana ini, segala-galanya akan di tinggalkan. 

Agungnya kuasa tuhan yang menunjukkan semua ini!!


Saya dan suami sudah mula sembahyang, membaca Al Quran, dan berdoa sejak pagi lagi. Gelincir je matahari, saya sudah tidak mempedulikan orang lain lagi. Gelincir matahari sehingga terbenam matahari di Arafah ialah  antara waktu-waktu yang paling mustajab berdoa. Saya seorang perempuan yang lemah, saya tidak mampu untuk berebut-rebut berdoa di multazam, tidak juga bersolat di dalam Hijir Ismail dan sehingga ke hari wukuf saya belum pernah berdoa di Maqam Ibrahim. Ini adalah satu-satunya kesempatan yang harus saya rebut, kesempatan untuk berdoa pada Tuhan yang mengabulkan doa setiap hambaNya.

 Orang lain menegur pun saya tak layan. Pada waktu itu saya seorang hambanya yang tamak dan dahagakan nikmat tuhan. Saya merebut kesempatan ini untuk berdoa, dan tenggelam saya dalam keasyikan doa. Pada waktu itu hanya ada saya dan Tuhan yang Maha Berkuasa. Alam sekeliling seumpama membisu. Hati benar-benar kusyuk, masa yang berjalan tidak dirasai, tetapi masa amat cemburukan kami. Pertama kali tuhan beri saya rasa yang sangat cinta kepada ibadat haji ini. Terasa damai di hati. Air mata mengalir, tanpa sempat kering.


Tanpa disedari matahari hampir tenggelam, perasaan berasa sangat sayu. Sebenarnya masa di Arafah sangat singkat. Masa tu saya terfikir "Ya tuhan, bilakah aku akan ke sini lagi?" Inilah waktu dan detik ketika yang terdetik di hati saya, saya mahu ke sini lagi. Memandang tanpa berkelip akan matahari yang mulai terbenam.

Alangkah beningnya saat itu.







No comments:

Post a Comment