Commercial Break

Friday, January 13, 2012

Day 3 (26 October 2011) Part 1- Kesesakan manusia

Ithaaf : " Mengalami kesukaran di dalam perjalanan haji adalah seumpama membelanjakan sesuatu untuk berjihad, di mana satu dirham diganjarkan sampai tujuh ratus kali. Mengalami kesakitan dan kepayahan semasa haji seumpama pengalaman kesukaran semasa berjihad. Hendaklah diperhatikan bahawa segala kesukaran dan kerugian-kerugian yang dialami tidaklah dilupai oleh Allah tetapi ditukarkan kepada ganjaran pahala."

Makkah. Masjidil Haram. Musim Haji. Manusia amat ramai. Ia seumpama lautan yang tidak bertepian. Pelbagai bangsa dan kaum. Yang pastinya mereka bertubuh besar dan tinggi, kuat dan gagah. Mungkin jika dibandingkan dengan saya berganda beza saiznya.

Pertama kali saya merasa sendiri kesesakan luar biasa itu adalah semalam, semasa bersama-sama Kak Ida menuju keluar dari dalam Masjidil Haram ke Babul Fatah selepas selesai ibadah solat Subuh, menuju lokasi yang kami telah janjikan untuk berjumpa suami masing-masing. Pertama kali sembahyang di masjidil haram, terus mengalami pengalaman ini.

Untuk menuju ke pintu besar Babul Fatah, kami kena menaiki anak tangga. Arus yang bertentangan berlaku di situ, di mana orang ramai yang ingin keluar dari masjid selepas Solat Subuh bertembung dengan orang ramai yang sembahyang di luar masjid, tetapi ingin masuk ke masjid untuk ke tempat tawaf.

Melihat kesesakan itu, pada mulanya kami menunggu sahaja di tepi. Memerhati. Mengira-ngira. Mengharap agar kesesakan itu reda. Setelah 5 minit suasana masih lagi sesak. Kami mulai bimbang akan suami yang mungkin sedang menunggu. Bagaimana jika mereka sangka kami sesat? Ini adalah hari pertama di masjidil haram. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Akhirnya kami mengambil keputusan. Dengan lafaz Bismillah dan debaran, kami turutkan kesesakan itu. Ia seumpama ombak yang deras. Kami berdua di tolak dan terhimpit semasa ingin keluar. Walau bagaimana pun kami amat bernasib baik kerana seorang perempuan kulit hitam yang besar dan tinggi di hadapan kami menjadi benteng bagi kami ketika bertembung dengan pak arab2 yang besar2 yang ingin masuk ke Masjidil Haram. Dia pun boleh tahan menolak orang-orang di depannya. Dia tidak sabar menunggu. Tenaganya yang kuat itu seumpama lorong bagi kami. Kami berdua hanya mengikut di belakangnya. Tidak menolak lansung. Tak bersalah dan innocent. Dia jadi macam dinding kami. Kalau tak ntah apa nasib kami.

                                                Ini gambar Babul Fatah...



Ramai sangat, sesak..dataran tawaf
Gambar di ambil daripada tangga untuk masuk ke dataran tawaf.





Penuh dengan jutaan manusia tidak kiran tingkat satu, dua, tiga dan dataran tawaf



Gambar dibawah ini di ambil dari google. Kesesakan manusia sampai ke luar masjid.






Tolakan dan himpitan di Makkah tak sama dengan di Malaysia. Berebut komuter dengan kakak2 dan makcik2 Malaysia dan tak kurang juga sebahagian kecil lelaki Malaysia, perasaannya tidak sama dengan di tolak dan dihimpit di Makkah. Kerana tenaga bangsa2 mereka ni berganda-ganda jauh lebih kuat daripada kita.

Saya yang berpengalaman luas dalam menaiki komuter sebelum berkahwin dengan suami, yang pro dengan suasana himpitan dan rebutan komuter di Malaysia, juga terkejut semasa mula-mula berada di sini. Saya belajar sesuatu yang baru di Makkah. Apa dia? Iaitu sekiranya kita di tolak dan dihimpit di sini, jangan kita keraskan diri atau lawan tolak balik. Ikut sahaja rentak mereka. Lembutkan badan macam orang yang main ballet. Buat sakit fizikal dan mental jer kalau kita lawan atau keraskan badan. Lagi pun bukankan berdosa kalau kita menolak orang lain? Kita ke sini bukan untuk menyakitkan orang lain. Kita datang untuk beribadah.

Dan lagi, salah satu cabaran yang di hadapi disini ialah ketika bergerak bersama jutaan manusia. Terutamanya semasa ramai yang berpusu-pusu keluar dari masjid. Pergerakan akan menjadi amat perlahan. Sekiranya orang di depan berhenti, kita akan di tolak oleh mereka yang dibelakang, yang tidak sabar menunggu. Pada masa itu kita akan terasa terhimpit. Daya juang yang tinggi amat diperlukan ketika menghadapi saat2 seperti ini. Kesabaran juga amat perlu. Suasana ini adalah seperti perumpamaan di padang masyar. Manusia hanya mementingkan diri sendiri. Ia mengingatkan kita akan akhirat. Ia amat menginsafkan.

Namun alangkah anehnya. Walau bagaimana sesaknya manusia, perasaan cintakan bumi ini sedang tumbuh mekar di hati saya. Ia bagaikan cendawan selepas hujan. Itu adalah keistimewaan yang terdapat di tanah haram, yang tidak terdapat di bumi lain. Mereka yang pernah ke sini pastinya mengerti apa yang saya maksudkan.

No comments:

Post a Comment